Berita :
‘Selagi Rakyat Makan Nasi, Tanah Sawah Tetap Dipertahankan’ - Dr Azman
‘Selagi Rakyat Makan Nasi, Tanah Sawah Tetap Dipertahankan’ - Dr Azman
Hidayah Azlin
7 jam yang lepas
47


TERENGGANU, 17 April– Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan kawasan jelapang padi daripada ditukarkan kepada status guna tanah lain demi menjamin keterjaminan makanan negara.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, usaha mengekalkan kelangsungan tanah sawah merupakan satu cabaran dan pengorbanan besar, khususnya bagi negeri-negeri di bawah kumpulan SG4.

Menurut beliau, secara umumnya tanah sawah padi dikategorikan sebagai tanah yang mempunyai nilai pasaran paling rendah berbanding status tanah lain.

"Nilai tanah ini akan meningkat berkali ganda apabila ditukar syarat menjadi tanah bangunan, perniagaan mahupun industri.


"Kita menerima banyak permohonan untuk tukar syarat guna tanah padi kepada kegunaan lain, terutamanya bagi kawasan yang terletak di sepanjang laluan jalan utama," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.

Dr Azman menjelaskan, meskipun terdapat tekanan pembangunan, kepentingan perut rakyat Malaysia harus diutamakan melebihi nilai komersial tanah tersebut.


Beliau turut menekankan peranan kritikal negeri-negeri SG4 yang kini menjadi penyumbang utama sektor agromakanan negara.

" Sumbangan SG4 kira-kira sebanyak 71% daripada keseluruhan bekalan beras negara. Oleh itu, kawasan jelapang padi tidak akan dikorbankan selagi beras menjadi makanan ruji utama rakyat Malaysia.


Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan segelintir pihak yang melabel negeri-negeri pengeluar makanan ini sebagai 'mundur' tanpa melihat impak besar yang disumbangkan terhadap kestabilan bekalan makanan.


"Mungkin mereka yang menyindir Negeri SG4 sebagai mundur tidak sedar sebenarnya periuk nasi mereka ada di sini," tegas beliau.

Terdahulu, isu keterjaminan makanan menjadi antara agenda utama kerajaan negeri dalam memastikan rantaian bekalan beras tidak terputus di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan iklim yang menjejaskan hasil tanaman.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan