Berita :
Selangor Dinobatkan Johan Keseluruhan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026
Selangor Dinobatkan Johan Keseluruhan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026
Ahmad Zaeem Zainudin
7 jam yang lepas
172

KUALA  NERUS, 19 April - Negeri Selangor Darul Ehsan tampil sebagai Johan Keseluruhan dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 apabila berjaya mengutip mata keseluruhan tertinggi dalam pertandingan berprestij itu, semalam. 

Kejayaan Selangor diperkukuhkan dengan kemenangan beberapa peserta utamanya, termasuk Muhammad Amnan Muhammad Sani yang menjuarai kategori Hafazan Juzuk 1-10 (Lelaki) dengan markah tinggi 98.35, serta Nur Izzati Norazmi yang mengungguli kategori Hafazan Juzuk 1-20 (Perempuan) dengan markah 98.45.

Bagi kategori Tilawah Al-Quran, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dari Perak dinobatkan sebagai Johan Qari selepas memperoleh markah 92.34. Manakala gelaran Johan Qariah pula milik wakil Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa, yang mencatatkan markah 92.50.

Cik Hasnul, yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke peringkat kebangsaan, melahirkan rasa syukur yang mendalam atas kemenangan yang dianggapnya sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.

"Bismillahirrahmanirrahim, pertamanya saya mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT dan sebenarnya ini adalah kejayaan yang pada saya mungkin tak disangka-sangka. Sebab saya rasa, pada saya saingan agak sengit. 

"Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pentas kebangsaan. Jadi ini mungkinlah rezeki Allah taala semua bagi.

"Dan insya-Allah dengan kejayaan ini insya-Allah saya akan cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik di pentas antarabangsa nanti," katanya kepada pemberita.

Hasnul yang telah memulakan pengajian Al-Quran dengan bapanya sendiri turut menghargai bimbingan guru-guru taranum lain termasuk Radzi Kamarul Hailan dan Dr. Anuar Hasin daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam persiapannya selama ini.

Bagi kategori Qariah, Nur Syakura dari Sarawak menyatakan bahawa disiplin yang tinggi dan bimbingan guru menjadi kunci kejayaannya selain melakukan persiapan rapi selama enam ke tujuh bulan sebelum pertandingan.

"Memang dah disiplinkan dirilah untuk belajar bertalaqqi dengan guru-guru, saya ambil semangat guru-guru saya dan nasihat-nasihat guru-guru saya untuk berusaha tapi kena letakkan Allah di hadapan, (sebagai tujuan) yang utama," katanya sambil menekankan kepentingan untuk memperbanyakkan amal ibadah.

Menurutnya lagi, selain daripada memperbanyakkan latihan, penjagaan dari segi pemakanan dan rutin harian juga memainkan peranan yang penting dalam usahanya untuk menjejakkan kaki ke pentas kebangsaan itu.

Dalam kategori Hafazan Juzuk 1-30, Muhammad Izzul Afnan Sazali dari Wilayah Persekutuan muncul pemenang bahagian lelaki dengan markah 97.95, manakala bahagian perempuan dimenangi oleh Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam dari Melaka dengan markah 96.00.

Majlis penuh keberkatan itu turut menyaksikan persaingan sengit dalam kategori Hafazan Juzuk 1-10 (Perempuan)  dimenangi oleh Siti Sofiyyah Mohd Zainuri dari Kelantan (94.65).

Pada masa sama, bagi hafazan Juzuk 1-20 (Lelaki) pula, ia telah dimenangi oleh Wan Syimir Muhaimin Wan Ahmad Sadaba dari Pahang (98.40).


Ketupat

Artikel Berkaitan