SETIU, 9 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim terus aktif menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda di kawasannya melalui sumbangan peralatan sukan sepak takraw baru-baru ini.
Sumbangan berupa jaring dan bola sepak takraw itu diserahkan khusus buat para belia di Kampung Gong Pasir, Jabi, bagi memastikan mereka dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang sihat dan bermanfaat.
Dr. Azman sempat menitipkan kata-kata semangat buat anak-anak muda di kampung berkenaan untuk terus aktif bersukan.
"Selamat bersukan anak muda. Pok Cik Man datang bawa net dengan bola sepak takraw dulu. Lepas ini Pok Cik Man datang sertai libas gulung," katanya.
Inisiatif seumpama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kepimpinan menggalakkan gaya hidup sihat, selain merapatkan hubungan silaturahim antara wakil rakyat dan komuniti setempat, khususnya golongan belia.
Kemudahan peralatan yang lengkap di peringkat akar umbi diharapkan dapat menaikkan lagi semangat anak muda luar bandar untuk mengasah bakat dalam sukan warisan ini, sekali gus menghidupkan kembali suasana meriah di gelanggang-gelanggang kampung.
Golongan belia di Kampung Gong Pasir menzahirkan rasa penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan dan tidak sabar untuk beraksi bersama ADUN mereka dalam perlawanan akan datang.