KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Mekanisme kawalan dan pemantauan bagi memastikan ketelusan proses menentukan kelayakan bakal peguam dibangkitkan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menerusi soalan tambahan kepada Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, beliau mempersoalkan mekanisme semak dan imbang bagi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB), badan yang mengawal selia kelayakan memasuki profesion guaman.
Beliau mahu memastikan keputusan berkaitan kurikulum, standard penilaian dan kelayakan bakal peguam dibuat secara bebas, telus serta tidak dipengaruhi kepentingan eksekutif.
“Apakah mekanisme semak dan imbang yang akan diwujudkan bagi memastikan keputusan berkaitan kurikulum, standard penilaian dan juga kelayakan bakal peguam ini dibuat secara bebas, telus serta tidak dipengaruhi oleh kepentingan eksekutif?” katanya.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai hala tuju Sijil Amalan Guaman (Certificate in Legal Practice – CLP), sama ada peperiksaan itu akan dimansuhkan sepenuhnya atau diteruskan dalam bentuk baharu.
Persoalan itu turut melibatkan aspek tapisan kelayakan bakal peguam serta kepentingan penguasaan Bahasa Melayu dalam proses berkenaan.
Menjawab pertanyaan itu, Menteri menjelaskan bahawa CLP akan diteruskan dengan penambahbaikan melalui kursus baharu yang membezakan latihan akademik dengan latihan profesional bagi bakal peguam.
Menurutnya, satu pasukan khas dikenali sebagai New Bar Course Task Force telah ditubuhkan bagi membangunkan kerangka pelaksanaan New Bar Course, Conversion Course dan Legal Practice Postgraduate Course.
Beliau berkata, penambahbaikan tersebut mengambil kira aduan yang dibangkitkan dan bertujuan menjadikan proses peperiksaan bakal peguam lebih telus serta terbuka.
“Ini menunjukkan bahawa ada tambah baik dan ini mengambil kira semua perkara-perkara yang aduan-aduan yang dibuat,” katanya.
Perbahasan mengenai perkara itu menumpukan keperluan memastikan perubahan sistem kelayakan profesion guaman dilaksanakan dengan proses yang telus, di samping memperjelas mekanisme semak dan imbang serta hala tuju peperiksaan CLP.