lightning-solid
Berita :
SKBBK Lindung 24 Jam Perluas Perlindungan Pekerja
SKBBK Lindung 24 Jam Perluas Perlindungan Pekerja
Ariss Alias
10 jam yang lepas
122

KUALA TERENGGANU, 12 Julai-Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 JAM yang diperkenalkan menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2026 merupakan satu inisiatif penting kerajaan dalam memperkukuh jaringan perlindungan keselamatan sosial negara dengan memperluaskan perlindungan kepada pekerja sepanjang masa.

Ketua Cawangan Faedah Lindung 24 Jam, Lindung Kendiri dan Lindung Kasih, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Terengganu, Safarul Faizam  Salleh, berkata skim berkenaan memberi perlindungan kepada pekerja yang layak sekiranya mengalami kemalangan bukan bencana kerja, iaitu kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Menurut beliau, sebelum ini perlindungan PERKESO di bawah Skim Bencana Pekerjaan hanya meliputi kemalangan yang berlaku semasa menjalankan pekerjaan atau dalam perjalanan yang berkaitan dengan pekerjaan. 

Pelaksanaan SKBBK LINDUNG 24 JAM melengkapkan perlindungan sedia ada dengan memastikan pekerja terus mendapat perlindungan walaupun berada di luar waktu bekerja, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Katanya, skim tersebut mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 hasil pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang telah diluluskan bagi memperkukuhkan sistem perlindungan sosial negara selaras dengan keperluan semasa. 

"Pelaksanaan SKBBK LINDUNG 24 JAM membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara menerusi perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh dan inklusif," katanya ketika menyampaikan taklimat kepada kakitangan Urusetia Penerangan Darul Iman, di Wisma Darul Imam, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, antara faedah yang disediakan di bawah skim ini ialah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional serta Faedah Pengurusan Mayat, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa terdapat beberapa pengecualian perlindungan di bawah skim tersebut sebagaimana diperuntukkan dalam akta dan peraturan berkaitan. 

Safarul Faizam berharap pekerja dan majikan memahami kepentingan SKBBK LINDUNG 24 JAM kerana skim ini bukan sahaja memberi perlindungan tambahan kepada pencarum, malah mampu meningkatkan kesejahteraan pekerja serta memberikan ketenangan kepada keluarga sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu pekerjaan.


Tag :

Artikel Berkaitan