lightning-solid
Berita :
Skuter Santai Tarikan Baharu Terokai Keindahan Pantai Penarik
Skuter Santai Tarikan Baharu Terokai Keindahan Pantai Penarik
Ariss Alias
2 jam yang lepas
86

SETIU, 5 Ogos - Perkhidmatan sewa motor skuter kini muncul sebagai tarikan baharu yang membolehkan pelancong menikmati keindahan Pantai Penarik serta suasana kampung pesisir di Kampung Penarik dan Kampung Mangkuk dengan cara yang lebih santai. 

Pengusaha perkhidmatan itu, Siti Nurul Jannah, 25, berkata idea menyediakan sewaan skuter tercetus apabila sebuah skuter miliknya tidak digunakan sebelum beliau mengambil keputusan menyewakannya kepada tetamu rumah inap berhampiran. 


"Pada mulanya kami hanya mempunyai sebuah skuter yang tidak digunakan. Daripada dibiarkan begitu sahaja, kami menyewakannya kepada penyewa rumah inap berhampiran sebelum menambah kepada tiga buah skuter pada peringkat awal," katanya ketika ditemui di Kampung Mangkuk.

Beliau berkata perniagaan itu mula beroperasi pada Mei 2025 bersama seorang rakan kongsi dan kini menawarkan 14 buah motor skuter serta basikal untuk disewa.

Menurutnya, laluan di sekitar Kampung Penarik dan Kampung Mangkuk menjadi tarikan utama kerana menawarkan pemandangan pantai yang mempesonakan, suasana kampung yang tenang serta laluan pesisir yang sesuai diterokai dengan skuter.

Katanya, majoriti pelanggan terdiri daripada pelancong tempatan dari pelbagai negeri, namun perkhidmatan itu turut mula mendapat sambutan daripada pelancong luar negara termasuk Nigeria.

"Sambutan sangat menggalakkan terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah sehingga semua skuter habis disewa," katanya.

Beliau berkata kadar sewaan ditawarkan bermula RM12, RM18, RM35 dan RM40 sejam bergantung pada model skuter, manakala perkhidmatan rakaman menggunakan dron disediakan secara berasingan pada harga bermula RM150.

Mengulas cabaran mengendalikan perniagaan itu, Siti Nurul berkata pada peringkat awal mereka berdepan kesukaran memperkenalkan perkhidmatan berkenaan kepada orang ramai, manakala kini faktor cuaca terutama musim hujan menjadi cabaran utama kerana boleh menjejaskan permintaan.

Beliau berharap perkhidmatan itu terus berkembang sebagai antara produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Kampung Penarik dan Kampung Mangkuk, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat. 

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau membuat tempahan boleh menghubungi talian 011-35727472 atau 011-37539776.


Tag :

Artikel Berkaitan