lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Abdul Karim Sumbang Pingat Perak Renang Buat Terengganu
SUKMA 2026: Abdul Karim Sumbang Pingat Perak Renang Buat Terengganu
Wan Mohammad Omar Ajmain
1 jam yang lepas
31

SHAH ALAM, 20 Ogos - Atlet renang Terengganu, Abdul Karim Jaafar Azhar, berjaya menyumbangkan pingat perak buat kontinjen negeri itu menerusi acara 50 meter Butterfly Lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII.

Kejayaan itu disifatkan sebagai pencapaian membanggakan buat Terengganu, selain membuktikan hasil kerja keras, disiplin dan kesungguhan Abdul Karim bersama barisan jurulatih serta pengurusan sepanjang menjalani persiapan menghadapi temasya berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail merakamkan ucapan tahniah kepada Abdul Karim, jurulatih, pengurus dan semua pihak yang terlibat atas kejayaan menyumbangkan pingat kepada Terengganu.

“Syabas dan tahniah kepada atlet, jurulatih, pengurus serta seluruh jabatan yang terlibat. Pingat perak ini adalah hasil kerja keras, disiplin dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang persiapan menghadapi SUKMA.

“Pencapaian ini amat membanggakan dan diharapkan menjadi pembakar semangat kepada Abdul Karim untuk terus memberikan aksi terbaik dalam acara seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis keraian atlet, pengurus dan jurulatih bersama Jabatan Angkat, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, di Bananabro, Shah Alam, bagi meraikan kejayaan atlet berkenaan.

Mohd Zawawi berkata, kejayaan Abdul Karim dalam acara 50m Butterfly Lelaki turut membuktikan sokongan berterusan daripada jurulatih, pengurus serta Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu selaku Jabatan Angkat amat penting dalam membantu atlet mencapai prestasi terbaik.

Beliau turut berharap Abdul Karim dapat memberikan persembahan terbaik dalam acara 100m Butterfly yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini, selain menyasarkan pingat emas buat Terengganu.

“Saya berharap Abdul Karim dapat melakukan yang terbaik dalam acara 100m nanti. Kita sama-sama mendoakan agar beliau diberikan kekuatan dan ketenangan untuk memberikan persembahan terbaik serta membawa pulang pingat emas buat Terengganu,” katanya.

Katanya, kejayaan yang diraih Abdul Karim diharapkan menjadi inspirasi kepada atlet muda Terengganu untuk terus bekerja keras, berdisiplin dan tidak berputus asa dalam mengejar kecemerlangan dalam bidang sukan.


Tag :

Sukan

Artikel Berkaitan