lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Banin Bidik Emas Kedua Skuad Menembak Terengganu
SUKMA 2026: Banin Bidik Emas Kedua Skuad Menembak Terengganu
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
40

SHAH ALAM, 20 Ogos - Atlet menembak Terengganu, Banin Al Ghazali meraih pingat emas kedua buat kontijen negeri dalam acara 25M Standard Pistol Individu Lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

Banin mencatat 554 mata dengan 10x untuk muncul juara, menewaskan wakil Pahang, Cheah Zen Hong yang meraih perak dengan 546 mata (7x), manakala gangsa menjadi milik seorang lagi atlet Pahang, Ahmad Danial Hakim dengan 542 mata (8x).

Banin sebelum ini juga telah meraih perak dalam acara 25M Rapid Fire Pistol Individu Lelaki pada hari kedua kempen menembak bermula.

Turut menyumbang pingat buat Terengganu hari ini ialah skuad 25M Standard Pistol Berpasukan Lelaki yang meraih gangsa selepas mengumpul 1,566 mata (14x).

Terengganu turut menambah satu lagi gangsa menerusi acara 10M Air Pistol Berpasukan Campuran selepas mengumpul 385.2 mata.

Terdahulu, Terengganu meraih dua pingat menerusi acara pistol apabila Wan Nur Anissa muncul juara dalam acara 25M Pistol Individu Wanita dengan 16 mata.

Sementara itu, skuad 25M Pistol Berpasukan Wanita turut menyumbang pingat gangsa selepas mengumpul 1,549 mata (14x).

Buat masa ini, skuad menembak Terengganu kini mengumpul enam pingat terdiri daripada dua emas, satu perak dan tiga gangsa.

Kemuncak saingan menembak dijadualkan untuk berlangsung pada esok menerusi acara 10M Air Rifle Berpasukan Campuran, 25M Sport Pistol Lelaki Individu dan Lelaki Berpasukan.


Artikel Berkaitan