SERDANG, 19 Ogos - Pasukan Silat menghadiahkan tiga pingat emas, tiga pingat perak dan tiga gangsa buat kontinjen Terengganu dalam saingan hari terakhir sukan tersebut di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), hari ini.
Terengganu menang emas dalam kategori Puteri Kelas E menerusi atlet kebangsaan, Nor Ainun Mokhtar yang menewaskan Kelantan dengan skor 33-3.
Emas kedua pula diraih Mohammad Rofiqi Nazri yang mengatasi atlet tuan rumah dengan skor 38-22 dalam kategori Putera Kelas B.
Pada perlawanan yang berlangsung sebelah petang, Terengganu meraih satu lagi pingat emas menerusi Muhammad Hisyam Shahabuddin yang menewaskan pesilat Pulau Pinang, 58-34.
Dalam pada itu, tiga pingat perak Terengganu diperolehi dalam kategori Puteri Kelas Bebas menerusi Hana Huwaida Soon Chen Cheon, Syed Nazran Aiman Syed Mohd Najib (Putera Kelas H) dan Nik Muhammad Haiqal Nik Ameran (Putera Kelas G).
Hana dan Aiman masing-masing tewas kepada pesilat dari Perlis dalam perlawanan akhir, sebentar tadi.
Manakala, Haiqal tewas dengan pembatalan kelayakan kepada atlet Melaka.
Pingat gangsa pula hadir menerusi tiga lagi pesilat iaitu Wan Nur Fatimah Isyrafina Wan Ahmad Amli (Puteri Kelas F), Muhammad Izzul Mirza Syarifuddin(Putera Kelas C) dan Muhammad Adam Syukri Omar (Putera Kelas J).