KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah sempena Hari Raya Aidilfitri 1447H anjuran Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Turut menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato' Mohd Fadzli Yusof.
Dalam majlis tersebut, Sultan Mizan berkenan mengurniakan sumbangan kepada 200 fakir miskin yang terdiri daripada 100 lelaki dan 100 wanita dari seluruh daerah di negeri ini.
Selain itu, seramai 300 pelajar daripada keluarga miskin dari 10 buah sekolah turut menerima kurniaan berupa wang tunai RM250 setiap seorang, selain bantuan yang sama kepada pelajar madrasah serta murid di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).

"Program pengurniaan fakir miskin untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ini merupakan program tahunan YDSM dan ia dilaksanakan 20 tahun yang lalu sejak penubuhan YDSM lagi.
"Setiap tahun kita jemput fakir miskin dan anak-anak sekolah, golongan asnaf datang ke istana ini untuk Tuanku sendiri berkenan menyampaikan bantuan," katanya dalam sidang media selepas majlis berkenaan.
Menurutnya, bagi tahun ini setiap fakir miskin menerima bantuan RM500 manakala pelajar sekolah menerima RM250 seorang.

"Dari segi pemilihan kita pastikan bahawa yang dibantu pada tahun lepas tidak akan terima lagi pada tahun ini. Satu lagi kriteria ialah mereka ini tidak mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana agensi.
"Jadi dalam konteks ini biasanya kita akan meminta bantuan, pertama daripada JKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan yang keduanya daripada Maidam, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu kerana mereka ada menyimpan data dari segi bayaran imbuhan dan sebagainya," jelasnya.
Tambah Fadzli, selain fakir miskin dan pelajar sekolah, YDSM turut menyantuni beberapa golongan khas termasuk bekas ahli seni, bekas atlet, pengayuh beca, pengusaha bot penambang serta mantan bidan kampung sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka.
Secara keseluruhannya, lebih 600 penerima menerima bantuan pada tahun ini dengan jumlah perbelanjaan hampir RM287,500, meningkat berbanding kira-kira RM240,000 tahun lalu.
Dalam pada itu, buat kelima kalinya Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) turut bersama memberikan kurniaan kepada 200 fakir miskin wanita yang terdiri dari kalangan pengusaha dan penenun songket bernaung di bawah YTNZ.