lightning-solid
Berita :
Tambah Baik Penganjuran Terengganu Marathon 2026
Tambah Baik Penganjuran Terengganu Marathon 2026
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
63

Oleh : Syahida Mohd

KUALA TERENGGANU, 25 Januari — Penganjuran Terengganu Marathon 2026 (TM26) yang dijadualkan berlangsung 1 dan 2 Mei depan dijangka tampil dengan penambahbaikan menyeluruh susulan maklum balas yang diterima pada edisi terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia merangkumi aspek pengurusan, kualiti penganjuran serta pengalaman peserta.

Katanya, TM26 akan dianjurkan buat kali kedua dan menggunakan dua jambatan ikonik Terengganu, iaitu Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Angkat sebagai sebahagian daripada laluan perlumbaan, sekali gus menawarkan nilai tarikan tersendiri kepada peserta tempatan dan luar negeri.

“Meskipun penganjuran ini bukan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, tempiasnya tetap dirasai kerana acara ini berlangsung di negeri ini. Justeru, sebarang kelemahan yang pernah disuarakan peserta sebelum ini diberi perhatian serius untuk diperbaiki,” ujar Hishamuddin dalam satu kenyataan di laman sosialnya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata TM26 kini diletakkan di bawah Center of Excellence (COE) Pelancongan Negeri Terengganu, yang menuntut tahap profesionalisme lebih tinggi dalam memastikan kualiti penganjuran dapat dipertingkatkan serta kepuasan peserta diberikan keutamaan.

”Tentunya kami (Kerajaan Terengganu) akan lebih serius bagi memastikan penganjuran ini dapat dipertingkatkan kualiti dan berusaha untuk memberikan kepuasan kepada semua peserta sebaik yang mungkin,”ujarnya.

Sementara itu katanya, dari segi logistik, TM26 akan memusatkan pengurusan acara di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, dengan Race Pack Collection (RPC) dijalankan di Stadium Tertutup, selain memberi peluang kepada vendor tempatan untuk membuka reruai sepanjang tempoh RPC. Laluan perlumbaan pula akan melibatkan kawasan stadium dan perkarangan kompleks berkenaan, termasuk penyediaan kemudahan parkir yang lebih teratur.

"Penganjur menyatakan keyakinan bahawa TM26 berpotensi menepati piawaian penganjuran marathon berkelas tinggi serta menjadi antara destinasi larian pilihan utama pelari dari seluruh negara, sekali gus mengangkat Terengganu sebagai salah satu destinasi larian terbaik di Malaysia.

" TM26 dijangka menarik kehadiran pelari tempatan dan antarabangsa serta memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat, " katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan