Berita :
Terengganu Berdepan ‘Bom Jangka’ Kesihatan
Terengganu Berdepan ‘Bom Jangka’ Kesihatan
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
42

KUALA TERENGGANU, 21 April – Peningkatan kes kanser dalam kalangan wanita di Terengganu kini berada pada tahap membimbangkan apabila jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan meningkat sebanyak 40 peratus dalam tempoh lima tahun.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Nor, data daripada Jabatan Ginekologi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menunjukkan kes meningkat daripada 1,464 pada tahun 2021 kepada 2,004 kes pada tahun 2025.

“Lima jenis kanser utama yang dikesan dalam kalangan wanita di negeri ini ialah kanser payudara, usus, rahim, leukemia serta ovari. 

"Trend peningkatan ini memerlukan tindakan segera dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika membahaskan Titah Diraja dalam  isu berkaitan ekonomi negeri, di Sidang Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di sini hari ini.

Tambah Zuraida, faktor obesiti dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kepada peningkatan risiko kanser. 

Katanya, berdasarkan kajian saintifik serta laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS), terdapat kaitan langsung antara berat badan berlebihan dengan risiko kanser primer.

Tambah  beliau, lebih membimbangkan, Jabatan Kesihatan Negeri melaporkan sebanyak 76 peratus rakyat Terengganu berada dalam kategori obes, manakala satu daripada tiga remaja turut berdepan masalah berat badan.

“Situasi ini ibarat ‘bom jangka’ kesihatan. Kita tidak boleh menafikan budaya makanan di Terengganu yang lazat tetapi tinggi kandungan gula. 

"Tanpa kawalan, ia menjadi ancaman senyap kepada kesihatan wanita,” ujarnya.

Jelasnya lagi, masalah pemakanan tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak turut menyumbang kepada peningkatan obesiti, sekali gus berpotensi meningkatkan kes kanser pada masa hadapan. 

Zuraida berkata pada tahun 2025 sahaja, sebanyak 702 kes baharu dilaporkan di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa tiga langkah proaktif dilaksanakan segera, termasuk memperketat piawaian nutrisi makanan di kantin sekolah, memperkenalkan pendidikan pemakanan sihat secara praktikal serta memperhebat kempen kesedaran awam mengenai bahaya obesiti.

“Sudah tiba masanya isu obesiti diberi keutamaan sebagai agenda utama bagi menjamin kelestarian kesihatan wanita di Terengganu dan seluruh negara,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan