Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Beri Jaminan Aktiviti Penerokaan Minyak Jamin Kebajikan Nelayan
Terengganu Beri Jaminan Aktiviti Penerokaan Minyak Jamin Kebajikan Nelayan
Hidayah Azlin
18 jam yang lepas
178

TERENGGANU , 30 Ogos — Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan akan mengimbangi aktiviti penerokaan minyak baharu oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan memastikan kebajikan golongan nelayan di negeri ini sentiasa dipelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pihak kerajaan negeri sedia maklum mengenai aduan nelayan berhubung aktiviti carigali yang menyekat kawasan tangkapan serta merosakkan peralatan menangkap ikan.

Menurut beliau, isu tersebut telah mendapat perhatian pihak pengurusan Petronas sejak akhir tahun 2025 menerusi satu pertemuan rasmi bersama kerajaan negeri.

"Memang benar bahawa aktiviti eksplorasi dan eksploitasi kawasan minyak baharu oleh Petronas telah menyebabkan sejumlah nelayan mengalami kehilangan peralatan seperti unjam dan bubu.

"Namun, Kerajaan Negeri berfikir secara realistik bahawa situasi menang-menang perlu dicapai. Penerokaan kawasan baharu perlu dibuat kerana ia adalah sumber ekonomi negara, tetapi dalam masa yang sama kebajikan masyarakat nelayan yang terkesan jangan dipinggirkan," katanya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini

Beliau berkata demikian merujuk kepada sesi pembentangan oleh delegasi Petronas yang diketuai Pengurus Besar Penasihat Strategik Petronas, Rahizan Ahmad bersama Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Timur, Mohammad Ahmad Shazly.

Menerusi pembentangan tersebut, pihak Petronas telah menyusun pengaturcaraan terperinci berkaitan proses gantirugi dan pampasan kepada nelayan yang terpaksa mengalihkan peralatan menangkap ikan demi memberi laluan kepada aktiviti eksplorasi minyak dan gas.

Kerajaan negeri akan terus memantau pelaksanaan laluan gantirugi berkenaan bagi memastikan hak serta sumber pendapatan komuniti nelayan tempatan terus terpelihara.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan