lightning-solid
Berita :
Terengganu Beri Perhatian Serius Terhadap Isu Kesihatan Mental Remaja
Terengganu Beri Perhatian Serius Terhadap Isu Kesihatan Mental Remaja
Khairul Faez Rosdi
9 jam yang lepas
167

KUALA TERENGGANU,19 Januari – Isu peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat Terengganu khususnya melibatkan golongan remaja, menjadi antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Portfolio Kesihatan Negeri Terengganu yang berlangsung hari ini di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

 Mesyuarat tersebut meneliti trend peningkatan kes kesihatan mental yang semakin membimbangkan dan didapati mempunyai hubungan rapat dengan cabaran gaya hidup semasa serta perkembangan pesat teknologi digital.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (Kesihatan Awam), Dr Mohd Anuar bin Abd Rahman memaklumkan bahawa peningkatan ini berpunca daripada tahap ketahanan mental yang lemah dalam kalangan remaja, selain pengaruh penggunaan media sosial yang tidak terkawal.

Menurut beliau, antara faktor utama yang dikenal pasti termasuk perasaan kesunyian, gangguan tidur akibat kerisauan berpanjangan serta peningkatan kes cubaan membunuh diri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, isu kesihatan mental bukanlah isu baharu, namun perubahan zaman serta kemajuan teknologi yang berlaku di luar kebiasaan sebelum ini telah menimbulkan pelbagai cabaran baharu kepada kesejahteraan mental masyarakat.

Beliau menjelaskan kebergantungan tinggi terhadap gajet, telefon pintar serta pelbagai aplikasi digital telah memberi kesan besar kepada corak kehidupan seharian, khususnya dalam kalangan remaja, sekali gus menyumbang kepada tekanan emosi dan gangguan mental.

“Kerajaan negeri memandang serius isu ini dan mengambil pendekatan menyeluruh dengan melibatkan pakar-pakar serta golongan ulama dan asatizah yang mempunyai keilmuan agama sebagai rakan strategik dalam menangani permasalahan kesihatan mental,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Kebajikan Asatizah Terengganu (PAKAT) dan Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu (DUPNT) turut mengambil inisiatif berterusan dengan mengiktiraf peranan ulama dan asatizah sebagai rakan strategik dalam pembinaan dasar negeri, khususnya melibatkan garis panduan hiburan, sosial serta kehidupan bermasyarakat.

Menurut Wan Sukairi, pendekatan agama dilihat sebagai antara kaedah terbaik dan berkesan dalam merawat serta mencegah masalah kesihatan mental, malah kerajaan negeri yakin lebih daripada separuh isu kesihatan mental boleh ditangani melalui pendekatan kerohanian yang betul dan berlandaskan ajaran Islam yang sebenar.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut menyambut baik cadangan dan usaha Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk memperkukuh kerjasama strategik melalui pendekatan pendidikan serta kaedah perubatan tertentu bagi mengawal isu kesihatan mental agar tidak berkembang menjadi penyakit mental yang lebih serius.


Tag :

Artikel Berkaitan