lightning-solid
Berita :
Terengganu Diiktiraf Negeri Paling Telus Tiga Kali Berturut-turut
Terengganu Diiktiraf Negeri Paling Telus Tiga Kali Berturut-turut
Mastura Jamal Din
13 jam yang lepas
44

KUALA TERENGGANU , 11 Ogos – Terengganu muncul sebagai negeri paling telus dalam pengurusan dan penerbitan maklumat kewangan di Malaysia selepas menduduki tempat pertama keseluruhan dalam Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2026.

Pencapaian itu menyaksikan Terengganu berada di kedudukan teratas MyOBI buat kali ketiga berturut-turut.

Laporan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bagi tahun ini merekodkan Terengganu memperoleh 77 mata, mengatasi Selangor (70), Perak (65) dan Negeri Sembilan (63), manakala purata keseluruhan negeri hanya 46 mata.

Menurut laporan itu, Terengganu menyediakan enam daripada tujuh dokumen utama belanjawan yang dinilai dalam tempoh ditetapkan, jumlah tertinggi berbanding negeri lain.

Selangor, Perak dan Negeri Sembilan masing-masing menyediakan lima daripada tujuh dokumen.

Terengganu juga menjadi satu-satunya negeri yang menerbitkan dokumen Enacted Budget atau belanjawan yang telah diluluskan bagi 2026 dalam tempoh penilaian MyOBI.

Dokumen itu penting kerana memperlihatkan peruntukan sebenar yang telah diluluskan selepas melalui proses perbahasan dan kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN).

IDEAS turut memuji tahap perincian maklumat kewangan yang diterbitkan kerajaan Terengganu, termasuk pecahan perbelanjaan pembangunan mengikut klasifikasi fungsi serta maklumat perbelanjaan secara terperinci sehingga ke peringkat program.

Menurut laporan itu, pendekatan tersebut membolehkan rakyat mengetahui dengan lebih jelas bagaimana sumber kewangan negeri dirancang, diperuntukkan dan digunakan.

Malah, IDEAS secara khusus menjadikan dokumen Anggaran Belanjawan Terengganu sebagai contoh amalan baik dalam bahagian cadangan MyOBI 2026 untuk dicontohi negeri-negeri lain.

Terengganu turut berada dalam kelompok tiga negeri terbaik bagi aspek pemantauan legislatif terhadap belanjawan negeri, selepas Selangor dan Pulau Pinang.

Dalam laporan sama, IDEAS turut memberi pengiktirafan terhadap peranan Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) yang memberikan maklum balas serta pandangan terhadap penilaian MyOBI bagi Terengganu.

MyOBI 2026 menilai kesemua 13 negeri berdasarkan tiga komponen utama iaitu kebolehcapaian maklumat belanjawan kepada orang awam, pemantauan legislatif oleh DUN dan peluang penglibatan awam dalam proses belanjawan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata peningkatan yang dicatatkan beberapa negeri menunjukkan kemajuan dalam ketelusan fiskal boleh dicapai, namun semua kerajaan negeri masih mempunyai ruang untuk melakukan penambahbaikan.

Beliau berkata, penerbitan maklumat belanjawan tepat pada masanya, pemantauan legislatif yang lebih kukuh serta penglibatan awam yang bermakna penting bagi meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan belanjawan negeri.

“Bagaimanapun, IDEAS menegaskan belum ada negeri mencapai tahap ketelusan sepenuhnya,” katanya.

Menurut laporan itu, tiada satu pun daripada 13 negeri menerbitkan keseluruhan set dokumen belanjawan penting tepat pada masanya, manakala ruang penglibatan orang ramai dalam proses penyediaan dan pelaksanaan belanjawan masih terhad di seluruh negara.

Kedudukan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam MyOBI 2026 sekali gus meletakkan negeri itu sebagai penanda aras utama dari aspek keterbukaan dan kebolehcapaian maklumat belanjawan kepada rakyat.



Tag :

Artikel Berkaitan