KUALA TERENGGANU, 26 Ogos – Tw Agro Dinamilk Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) kini bertindak sebagai penggerak utama pelaburan bagi pembangunan Kompleks Agro Nanyan di Mukim Caluk, Setiu menerusi pelaksanaan semula Projek Besut Setiu Agropolitan (BSA).
Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A. Rahman @ Yusof berkata, inisiatif bernilai RM250 juta bersama Nanyan Holdings Sdn. Bhd. itu bermatlamat memperkukuh rantaian bekalan agromakanan dan keterjaminan makanan negeri.

“Pembangunan bersepadu ini bukan sahaja merangkumi aktiviti penternakan dan penanaman napier, malah bakal dilengkapi dengan pembinaan rumah penyembelihan moden berskala industri serta kemudahan pemprosesan bagi mengeluarkan produk makanan sejuk beku,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu, Tw Agro Dinamilk Sdn. Bhd Dan Nanyan Holding Sdn Bhd Bagi Pembangunan Hub Bersepadu Agro Makanan Dan Penternakan Di Kompleks Agro Nanyan Besut Setiu Agropolitan (BSA) Daerah Setiu di sini, hari ini.
MoU yang berlangsung di Wisma Darul Iman itu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengulas lanjut Nor Azam memaklumkan, sasaran pengeluaran ternakan adalah mengikut fasa iaitu bermula fasa pertama hingga keempat.
“Dengan menyasarkan pengeluaran ternakan sebanyak RM40 juta, fasa pertama (ACTIVE) adalah pengaktifan aset dan operasi dengan memberi tumpuan kepada penggunaan semula infrastruktur sedia ada, permulaan aktiviti pengeluaran dan perdagangan serta penciptaan peluang ekonomi baharu di kawasan sekitar.
“Fasa kedua iaitu (SCALE) pula adalah fasa pengembangan kapasiti pengeluaran bagi meningkatkan skala aktiviti penternakan dan agromakanan, di samping membina rantaian ekonomi yang melibatkan petani, penternak, koperasi, usahawan serta komuniti luar bandar yang menyasarkan pengeluaran ternakan berjumlah RM55 juta,” ujarnya.

Dan fasa keempat (CONNECT) pula jelas beliau, melibatkan fasa penghubungan pasaran yang akan memperluas jaringan dan kedudukan Kompleks Agro Nanyan daripada pusat pengeluaran kepada sebuah platform rantaian bekalan dan perdagangan agromakanan melalui akses pasaran domestik, nasional serta serantau yang menyasarkan pengeluaran ternakan berjumlah RM60 juta.
Menurutnya, pembangunan projek tersebut mendapat sokongan khidmat nasihat dan teknikal daripada Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi penghasilan pembekalan makanan ternakan bernutrisi tinggi serta pemindahan ilmu dan teknologi.
“Selain itu, kerjasama strategik bersama FELCRA Food Industries Sdn. Bhd. di dalam melengkapkan lagi rantaian ekosistem akan turut menyumbang kepada kejayaan pembangunan di Kompleks Agro Nanyan,” ujarnya.
Katanya, menerusi perancangan yang teratur, Terengganu disasarkan menjadi hub pengeluaran daging ruminan utama negeri yang kompetitif, berdaya saing dan lestari.