Berita :
Terengganu Perkasa Islamic Tourism, Tarik 2.45 Juta Pengunjung Suku Pertama 2026
Terengganu Perkasa Islamic Tourism, Tarik 2.45 Juta Pengunjung Suku Pertama 2026
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
81

KUALA NERUS, 14 Jun - Terengganu terus memperkasakan agenda Islamic Tourism sebagai satu daripada pilar baharu pelancongan negeri, sekali gus menjadi nilai tambah yang membezakan Terengganu dengan destinasi pelancongan lain.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Mohd Ariffin Tengku A. Rahman berkata, konsep pelancongan yang mahu diketengahkan bukan sekadar berkualiti dan lestari, malah selari dengan nilai budaya, warisan serta gaya hidup masyarakat setempat.

Menurutnya, usaha berterusan kerajaan negeri dalam menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan mesra syariah kini menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan.

“Bagi suku tahun pertama 2026 sahaja, kehadiran pelancong dan pengunjung ke Terengganu diunjurkan mencecah sekitar 2.45 juta orang.

“Angka ini sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pelancong terhadap daya tarikan serta keunikan produk pelancongan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Festival Adu Kolek 2026 yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Daham di Kampung Jeram Hulu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Tengku Mohd Ariffin berkata, kejayaan sektor pelancongan Terengganu tidak hanya diukur melalui jumlah kehadiran pelancong semata-mata.

Sebaliknya, katanya, ia turut dapat dilihat melalui kesejahteraan masyarakat setempat serta kesan positif pembangunan terhadap kualiti hidup rakyat.

“Kita amat berbangga apabila Bandaraya Kuala Terengganu, Bandar Marang dan Bandar Permaisuri dinobatkan sebagai antara bandar paling bahagia tahun 2026 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa pembangunan yang dilaksanakan di Terengganu bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi, malah turut meningkatkan kualiti hidup serta kebahagiaan rakyat,” katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan