lightning-solid
Berita :
Terengganu Perkasa Promosi, Sasar Lebih Ramai Pelancong Asia Barat
Terengganu Perkasa Promosi, Sasar Lebih Ramai Pelancong Asia Barat
Mastura Jamal Din
7 jam yang lepas
94

KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Kerajaan negeri memperhebat usaha mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau Asia Barat menerusi pelbagai strategi termasuk memperkukuhkan pelancongan mesra Muslim, pemasaran digital dan kerjasama strategik dengan agensi pelancongan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata langkah itu diambil susulan jumlah kedatangan pelancong dari Asia Barat ke Terengganu yang masih rendah berbanding beberapa negeri lain berdasarkan data Tourism Malaysia bagi tahun 2023.

Katanya, keadaan itu bagaimanapun membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk memperkukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi pilihan pelancong dari rantau berkenaan.

"Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif secara berterusan bagi meningkatkan kemasukan pelancong dari Asia Barat, termasuk memperkukuhkan aktiviti promosi dan pemasaran digital melalui pelbagai platform dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Riduan Mohamad Nor, pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut Razali, antara fokus utama kerajaan negeri ialah memperkukuhkan produk pelancongan mesra Muslim dengan menjadikan pelancongan Islam sebagai salah satu kluster utama negeri melalui penyediaan kemudahan ibadah yang lengkap, makanan halal, penginapan mesra Muslim serta persekitaran yang selamat dan sesuai untuk percutian keluarga.

Selain itu, katanya, promosi khusus turut dipergiat menerusi kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia, termasuk memanfaatkan pejabat agensi itu di Jeddah bagi memperluaskan promosi Terengganu ke pasaran Asia Barat.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan meningkatkan pemasaran digital melalui penghasilan kandungan kreatif berkualiti tinggi, penggunaan media sosial serta kerjasama dengan travel influencers dan pencipta kandungan bagi meningkatkan keterlihatan Terengganu di rantau berkenaan.

"Pada masa sama, penyertaan dalam pameran pelancongan antarabangsa, misi jualan serta program Business-to-Business (B2B) dan Business-to-Consumer (B2C) bersama Tourism Malaysia, syarikat penerbangan, ejen pelancongan dan pemain industri akan terus diperkasakan," katanya.

Tambah Razali, penganjuran Visit Truly Terengganu 2027 turut akan dimanfaatkan sebagai platform utama mempromosikan negeri ini di peringkat antarabangsa menerusi kempen pemasaran yang lebih agresif dan bersasar.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menggalakkan pembangunan pakej pelancongan premium yang menggabungkan keindahan pulau, pantai, eko-pelancongan, warisan budaya, pelancongan Islam serta pengalaman komuniti.

"Ia bagi memenuhi citarasa pelancong Asia Barat yang lebih cenderung memilih destinasi berteraskan alam semula jadi, privasi dan mesra keluarga," ujar beliau. 


Tag :

Artikel Berkaitan