lightning-solid
Berita :
Terengganu Sasar Pingat Perak Futsal Pada SUKMA XXII
Terengganu Sasar Pingat Perak Futsal Pada SUKMA XXII
Ariss Alias
5 jam yang lepas
127

SETIU, 27 Julai - Pasukan futsal lelaki Terengganu meletakkan sasaran meraih pingat perak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 selepas langkah mereka terhenti di peringkat suku akhir pada edisi lalu. 

Pengurus pasukan, Mohamed Sekanther Abdul Hamed, berkata sasaran itu disandarkan kepada persiapan rapi yang sedang dilaksanakan selain komitmen tinggi ditunjukkan barisan pemain dan pegawai pasukan menjelang temasya berkenaan. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap merangkap Bapa Angkat Sukan Futsal SUKMA XXII Selangor, Azmi Maarof, berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada pembangunan sukan termasuk memastikan kebajikan atlet terus diberi perhatian.

Beliau berkata, setiap pemain perlu mengekalkan disiplin, menjaga kesihatan dan keselamatan diri serta sentiasa berusaha memberikan aksi terbaik demi mengharumkan nama Terengganu di pentas SUKMA. 

"Jaga keselamatan dan kesihatan diri, jangan tinggal solat. Saya berharap semua pemain kekal fokus sepanjang latihan, beraksi dengan semangat berpasukan dan membawa pulang kejayaan untuk negeri Terengganu," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Skuad Futsal SUKMA Terengganu di AMZ Seafood, di sini, semalam

Pada majlis terbabit, Azmi turut menyampaikan sumbangan tunai sebanyak RM5,000 bagi membantu persiapan skuad futsal Terengganu menghadapi temasya SUKMA XXII Selangor. 

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) merangkap Timbalan Ketua Kontinjen Terengganu SUKMA 2026, Dato' Haji Jusman Ibrahim, Pegawai Daerah Setiu merangkap Jabatan Angkat, Yusaini Amir Mohamad,  Timbalan Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negeri Terengganu, Dr. Haji Nasree Najmi, serta pegawai dan atlet pasukan.


Tag :

Artikel Berkaitan