lightning-solid
Berita :
Terengganu Yakin Mampu Capai Sasaran 61 Emas di SUKMA
Terengganu Yakin Mampu Capai Sasaran 61 Emas di SUKMA
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
144

KUALA TERENGGANU, 5 Ogos -  Kontinjen Terengganu optimis mampu mencapai sasaran 61 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) selepas sasaran itu ditetapkan berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap prestasi atlet dan kekuatan pencabar dari negeri-negeri lain.

Ketua Kontinjen (CDM) Terengganu, Dato' Rosli Latif berkata, sasaran berkenaan bukan ditetapkan secara rambang, sebaliknya hasil penelitian sebuah jawatankuasa khas di Majlis Sukan Negeri (MSN) yang menilai prestasi atlet berdasarkan data dan pencapaian semasa.

"Sasaran yang ditetapkan kepada kami ialah 61 pingat emas dan ia merupakan sasaran yang realistik. Kita mengambil kira kekuatan atlet sendiri serta kekuatan pasukan lain berdasarkan angka dan prestasi yang ada.

"Bagaimanapun, dalam sukan apa sahaja boleh berlaku pada hari pertandingan. Sama ada kita memperoleh emas, perak, gangsa atau gagal memenangi sebarang pingat, semuanya bergantung kepada prestasi pada hari tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu ke SUKMA XXII Selangor 2026 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurut Rosli, persiapan kali ini lebih rapi berbanding edisi di Sarawak apabila program latihan dimulakan sebaik sahaja temasya berakhir tahun lalu.

"Selepas SUKMA Sarawak, kita terus mengadakan post mortem, menilai semula atlet dan memulakan latihan lebih awal. Tahun ini kita benar-benar bersedia untuk berjuang bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, aspek kecederaan turut diberi perhatian serius bagi memastikan semua atlet berada pada tahap terbaik menjelang pertandingan.

"Kita cuba mengelakkan kecederaan pada saat-saat akhir kerana faktor itu boleh menjejaskan peluang pasukan mencapai sasaran," ujarnya.

Dalam pada itu, Rosli menzahirkan penghargaan kepada atlet, jurulatih, persatuan sukan serta semua pihak yang terlibat atas komitmen tinggi sepanjang tempoh persiapan.

"Saya amat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh atlet, persatuan sukan dan jabatan berkaitan. Mereka memberikan kerjasama yang sangat baik demi memastikan sasaran kontinjen dapat direalisasikan.

"SUKMA bukan agenda individu, sebaliknya agenda negeri. Kita bertanding atas nama Terengganu dan berjuang untuk mengharumkan nama negeri," katanya.

Mengulas acara yang dijangka menjadi penyumbang utama pingat, beliau berkata, sukan berbasikal terus menjadi sandaran kontinjen untuk menghadiahkan kutipan emas yang besar kepada Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan