lightning-solid
Berita :
Terminal Bas Jerteh Catat 25 Peratus Kemajuan
Terminal Bas Jerteh Catat 25 Peratus Kemajuan
Muhammad Afiq Mohd Sa'adi
4 jam yang lepas
80

BESUT, 12 Ogos – Projek Terminal Bas Jerteh kini mencapai kemajuan 25 peratus dengan sebanyak 419 batang cerucuk telah dipasang sebagai sebahagian daripada kerja-kerja asas pembinaan.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ts. Mohd Naim Ibrahim berkata, kerja-kerja asas sedang giat dilaksanakan di tapak meskipun perkembangan fizikal projek masih belum begitu ketara dari luar.

Menurutnya, cerucuk berkenaan dipasang sehingga kedalaman 30 meter menggunakan kaedah hydraulic jack-in piling yang menekan cerucuk secara perlahan menggunakan tekanan hidraulik tanpa hentakan.

“Selama ini kita tertanya-tanya, apa yang berlaku dalam tapak ini? Tak nampak pun kerja. Rupanya kerja-kerja asas sedang rancak dijalankan,” jelasnya ketika ditemui di tapak semalam.

Beliau menambah, penggunaan kaedah berkenaan turut membantu mengurangkan bunyi bising dan getaran berbanding kaedah pemasangan cerucuk secara konvensional.

Perkembangan itu dilihat ketika lawatan ke tapak projek oleh YB Dr. Riduan Mohamad Nor bersama Ts. Mohd Naim Ibrahim dan Jurutera Majlis Daerah Besut, Ir. Ahmad Hasbullah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mod Nor berkata, kewujudan Terminal Bas Jerteh kelak diharap dapat menyediakan kemudahan pengangkutan yang lebih baik dan selesa kepada rakyat, khususnya penduduk di DUN Jerteh.

“Semoga dengan adanya terminal ini dapat memudahkan urusan rakyat DUN Jerteh. Kita berharap segala kerja berjalan lancar dan projek ini dapat disiapkan serta digunakan oleh rakyat secepat mungkin,” katanya.

Dengan kerja-kerja asas kini menunjukkan kemajuan yang baik, pembinaan dijangka lebih jelas kelihatan selepas fasa struktur bangunan mula dilaksanakan.

"Terminal Bas Jerteh itu juga diharap menjadi satu lagi kemudahan penting yang mampu menyokong pembangunan serta merancakkan aktiviti ekonomi di Jerteh dan kawasan sekitarnya," tambah beliau.



Tag :

Artikel Berkaitan