KUALA LUMPUR, 5 Mei - Terengganu Hockey Team (THT) mempamerkan aksi dominan apabila membenam Liaoning Men's Hockey Team (LHMT) dengan kemenangan besar 6-0 dalam perlawanan di Stadium Hoki Nasional 2 (NHS), petang tadi.
Kemenangan itu tadi membolehkan THT meraih tiga mata penuh untuk perlawanan tadi dan 11 mata keseluruhan bagi musim ini.
Keputusan itu meletakkan THT di tangga kedua liga, di belakang Tenaga Nasional Berhad Hockey Team (TNB) yang kini mendahului dengan 13 mata.

THT terus mengasak dengan agresif namun gagal menembusi pertahanan LMHT menerusi tiga lagi percubaan PC, mengakhiri suku pertama dengan 1-0.
Pasukan penyu tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Faizal sekali lagi meledak gol kedua (PC) pada awal suku kedua, sekali gus menutup separuh masa pertama dengan kelebihan 2-0.

Dengan kemaraan itu, THT menambah derita lawan apabila Keenan Craig Horne menyempurnakan gol padang hasil hantaran Faizal untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Tidak lama kemudian, Faizal sekali lagi membuktikan ketajamannya menerusi satu lagi PC hatrik bagi gol keempat, sebelum Mughni Mohamad Kamal menambah jaringan padang kelima.

Memasuki suku terakhir, Faizal melengkapkan jaringan PC untuk gol keenam pasukan. LHMT yang memperoleh dua peluang PC di penghujung permainan bagaimanapun gagal memecahkan kebuntuan, sekali gus menamatkan perlawanan tanpa sebarang jaringan.
Namun, kemenangan bergaya itu sedikit tercalar apabila Faizal dilayangkan kad merah pada saat akhir permainan susulan insiden pergaduhan dengan pemain lawan, Wang Yubo, selepas berlaku provokasi.
Kad merah itu berkemungkinan menyaksikan tonggak utama THT itu digantung satu perlawanan, menyebabkannya terlepas aksi menentang UiTM HA-KPT pada 16 Mei ini di Stadium Hoki Negeri, Batu Burok.