Berita :
Parkir Percuma Selepas 6 Petang di Bawah MBKT, Tiada Lagi Saman
Parkir Percuma Selepas 6 Petang di Bawah MBKT, Tiada Lagi Saman
Mastura Jamal Din
10 jam yang lepas
965

KUALA TERENGGANU, 3 Jun – Pengguna parkir di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak lagi akan dikenakan saman parkir selepas jam 6 petang berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, penguatkuasaan saman parkir kini hanya dijalankan sehingga jam 6 petang setiap hari.

“Bermula 1 Jun, pemantauan dan penguatkuasaan saman parkir hanya dilaksanakan sehingga jam 6 petang sahaja.

“Bagaimanapun, pengecualian tidak diberikan kepada kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur sehingga menghalang lalu lintas atau menyebabkan gangguan kepada pengguna jalan raya lain kerana ia tetap merupakan satu kesalahan serius,” katanya ketika mengulas mengenai pelaksanaan sistem parkir di bandar raya Kuala Terengganu.

Dalam masa sama, Lizan berkata, MBKT kini sedang dalam proses melantik kontraktor baharu bagi menguruskan sistem parkir yang dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat bulan.

Menurutnya, sepanjang tempoh peralihan itu, kutipan bayaran parkir akan dilaksanakan secara manual bagi memastikan operasi berjalan lancar.

“Kita akan menyediakan pondok-pondok jualan tiket parkir menggunakan kaedah lama dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini.

“Selepas itu, kita akan melaksanakan sistem parkir digital sepenuhnya yang lebih mudah dan mesra pengguna kerana pembayaran boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.

Beliau menjelaskan pelaksanaan sistem digital itu dijangka memberi kemudahan kepada orang ramai selain meningkatkan kecekapan pengurusan parkir di bandar raya tersebut.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan