lightning-solid
Berita :
Tiga Kali Redah Api Panggil Anak, Lelaki OKU Maut Kebakaran
Tiga Kali Redah Api Panggil Anak, Lelaki OKU Maut Kebakaran
Ahmad Zaeem Zainudin
4 jam yang lepas
32

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Seorang ibu sanggup meredah api dan memanggil nama anak lelakinya sebanyak tiga kali dalam usaha menyelamatkannya ketika kebakaran memusnahkan rumah mereka di Kampung Gong Tok Nasek, semalam, namun usahanya berakhir dengan tragedi apabila mangsa ditemukan maut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Abd Latif Abd Rashid, 41, seorang orang kurang upaya (OKU), dipercayai terperangkap di tingkat atas rumah separuh kekal yang didiami bersama ibu bapanya.

Menurut ibu mangsa, Sharipah Yusof, 59, dia memberanikan untuk masuk kembali ke dalam rumah ketika api sedang marak untuk memanggil anaknya yang masih tidur di tingkat atas selepas dibawa keluar bersama suaminya, Abd Rashid Md Zain, 64.

"Makcik pergi masuk semula, yang pertama masuk panggil anak suruh turun. Turun Teh (Abd Latif), turun Teh, tak turun.

"Makcik pun tengok api banyak keluar semula. Selepas itu, makcik masuk pula yang kali kedua. Masuk semula, panggil lah dia tak keluar juga," katanya.

Jelasnya, api semakin marak ketika percubaan ketiganya untuk menyelamatkan anaknya sehingga dia tidak lagi mampu memasuki rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, TPgB II Thoyyibah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.52 pagi sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.

"Bomba menerima panggilan pada jam 10:52 dan operasi kebakaran dapat dikawal pada jam 11.10 lebih kurang anggaran 15 minit apabila bomba sampai di tempat kejadian.

"Dan pada hari ini mangsa meninggal dunia akibat kebakaranlah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jelas beliau, berdasarkan maklumat keluarga, mangsa berada di tingkat atas ketika kebakaran berlaku sebelum ditemui di bahagian bawah struktur rumah selepas operasi mengawal api dijalankan.

Menurutnya, ketika bomba tiba di lokasi, rumah berkenaan telah mengalami kemusnahan hampir 80 peratus.

"Mangsa berada di tingkat atas. Menurut ibu mangsa, mangsa berada di tingkat atas pada kejadian dan apabila bomba sampai kita dapati kemusnahan hampir 80 peratus pada rumah separuh kekal.

"Dan daripada pemerhatian kita apabila operasi dapat dikawal pada ketika itu, kita cuba untuk mencari mangsa dan mangsa ditemui di tingkat bawah apabila lantai juga turut terbakar," ulasnya.

Tambahnya lagi, kebakaran turut menjejaskan sebuah lagi rumah berhampiran dengan kemusnahan dianggarkan 25 peratus.

Seramai 22 anggota daripada BBP Kuala Terengganu, BBP Jalan Kota serta Pasukan Bomba Sukarela Losong terlibat dalam operasi pemadaman.


Artikel Berkaitan