KUALA TERENGGANU, 11 April - TNB Thunderstars menafikan hasrat Terengganu Hockey Team (THT) untuk memulakan musim dengan trofi apabila merangkul Piala Sumbangsih selepas menewaskan pasukan tuan rumah 5-4 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, petang tadi.
THT terlebih dahulu mempamerkan permulaan cemerlang apabila mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi dua jaringan padang oleh penyerang sensasi skuad negeri, Faizal Saari.

Bagaimanapun, TNB mula bangkit pada suku kedua permainan apabila Jang Jong Hyun meledak gol pertama pasukan pelawat menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-25, memecahkan kebuntuan TNB sekaligus merapatkan kedudukan kepada 2-1.
Momentum itu diteruskan oleh TNB apabila Adam Ashraf Mohd Johari berjaya menyamakan kedudukan kepada 2-2 menjelang penghujung separuh masa pertama, sekali gus menutup babak pertama dengan kedudukan terikat seri.

TNB kemudian menambah jaringan melalui satu lagi pukulan sudut penalti oleh Jang Jong Hyun untuk menjadikan kedudukan 4-2, sebelum Samkelo Mvimbi merapatkan jurang buat THT menerusi pukulan penalti stroke menjadikan skor 4-3.
Dengan momentum itu, THT terus menggandakan serangan dan memperoleh beberapa peluang pukulan sudut penalti.

Namun, perlawanan memuncak pada saat-saat akhir apabila Jang Jong Hyun menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti untuk gol kelima TNB, hanya kira-kira 45 saat sebelum wisel penamat, sekali gus memuktamadkan kemenangan 5-4 buat pasukan pelawat.
Kemenangan itu menyaksikan TNB merangkul Piala Sumbangsih musim ini serta menafikan usaha THT untuk mengekalkan penguasaan treble yang dimenangi musim lalu.