lightning-solid
Berita :
Tukar Kerajaan Pusat Jalan Akhir Dapatkan Semula Hutang LPT2 Hak Rakyat Terengganu
Tukar Kerajaan Pusat Jalan Akhir Dapatkan Semula Hutang LPT2 Hak Rakyat Terengganu
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
110

KUALA TERENGGANU, 10 Julai - Menteri Besar Terengganu menegaskan pertukaran kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) merupakan jalan terakhir bagi negeri itu memperoleh semula hak berkaitan tuntutan kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu kecewa dengan keputusan kerajaan Persekutuan yang menafikan tuntutan negeri itu terhadap sebahagian kos pembinaan lebuh raya berkenaan.

“Sudah tentu Terengganu kecewa. Nampaknya ada satu cara sahaja untuk kami memperoleh semula hak-hak kami yang dinafikan.

“Kali ini, tanpa perlu bahas berjela-jela, satu cara sahaja, iaitu kita ubah kerajaan di peringkat Persekutuan pada PRU16 nanti,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai keputusan kerajaan Persekutuan yang tidak membenarkan Terengganu menuntut semula sebahaguan kos pembinaan LPT2.

Kerajaan Terengganu sebelum ini menuntut bayaran balik berjumlah RM1.43 bilion yang dikaitkan dengan dana negeri yang digunakan bagi pembinaan projek lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan memaklumkan bahawa tiada peruntukan disediakan bagi pembayaran balik tuntutan tersebut.

Susulan keputusan itu, Ahmad Samsuri memberi isyarat bahawa pertukaran kerajaan di Putrajaya menjadi pilihan terakhir untuk Terengganu mendapatkan semula hak yang didakwanya dinafikan.

Beliau turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak lagi memerlukan perbahasan panjang selepas tuntutan negeri itu ditolak.

Menurutnya, rakyat mempunyai peluang untuk menentukan perubahan tersebut menerusi PRU16.


Tag :

Artikel Berkaitan