MARANG, 14 September – Keberkesanan tukun tiruan Kuboid Juvenil di perairan Terengganu semakin dapat dilihat apabila musim sotong yang lazimnya tertumpu sekitar April dan Mei kini dilaporkan berpanjangan dari Februari hingga hampir memasuki Oktober.
Selain itu, kawasan yang dilabuhkan tukun turut mencatatkan kepadatan ikan yang tinggi berdasarkan kajian sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, keadaan itu menunjukkan tukun berkenaan berfungsi sebagai kawasan perlindungan dan habitat hidupan marin.
Menurut beliau, meskipun keberkesanan tukun tidak dapat diterjemahkan kepada satu angka khusus, kesannya dapat dilihat melalui peningkatan hasil perikanan serta perubahan tempoh musim sotong di perairan negeri ini.
“Biasanya sotong ini ada sekitar bulan April atau Mei. Apabila tukun ini berfungsi dengan baik untuk menghalang pukat tunda, kawasan sotong tidak diganggu.
“Sebab itu kita lihat musim sotong berpanjangan dari Februari sampai menghampiri Oktober, masih banyak lagi sotong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda (Rekreasi) di perairan Rusila, di sini.

Katanya, dapatan itu turut menunjukkan program melabuhkan tukun tiruan memberi kesan sosioekonomi kepada nelayan yang bergantung kepada sumber perikanan pantai sebagai punca pendapatan.
“Kalau tanya di mana keberkesanan tukun, ada yang kita boleh nyatakan dengan angka dan ada yang dalam bentuk impak serta kesan sosioekonomi yang dirasai oleh nelayan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan meneruskan pelaksanaan program berkenaan pada tahun hadapan selepas program bagi tahun ini berakhir dengan keseluruhan 155 tukun dilabuhkan.
Selain itu katanya, dua lagi tukun dikenali sebagai ‘Pakcik Man’ turut dilabuhkan masing-masing di Setiu dan Marang.
“Insya-Allah tahun hadapan program ini akan ada lagi. Dengan jumlah sebagaimana tahun ini, kita harapkan proses untuk mendapatkan peruntukan bagi program ini berjalan lancar.
“Kerana kekuatan kita adalah berdasarkan rekod kejayaan program sebagaimana tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
