Berita :
UMT Sebar Kempen Perangi Plastik Sekali Guna
UMT Sebar Kempen Perangi Plastik Sekali Guna
Noraini Jusoh
1 hari yang lepas
154

KUALA NERUS, 28 Jun - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memainkan peranannya sebagai universiti yang mengangkat agenda kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran Program Let's Refuse Plastic 2.0 yang berlangsung di Tapak Carboot Sale UniSZA, Gong Badak, di sini.

Program bertemakan 'Say No to One-Off Plastic!' itu menjadi platform mendekati masyarakat bagi meningkatkan kesedaran terhadap impak penggunaan plastik sekali guna serta menggalakkan pembudayaan amalan hidup lestari melalui tindakan mudah yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Pengarah Program, Dr. Izan Jaafar, berkata penganjuran program berkenaan membuktikan komitmen berterusan UMT dalam menerapkan budaya kelestarian bukan sahaja dalam kalangan warga kampus, malah kepada masyarakat melalui pendekatan pendidikan berasaskan komuniti.

 "UMT percaya usaha memerangi pencemaran plastik perlu bermula dengan perubahan sikap dan amalan harian. Melalui Program Let's Refuse Plastic 2.0, kami ingin menyampaikan mesej bahawa setiap individu mempunyai peranan penting dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna demi memelihara alam sekitar.

"Sebagai universiti yang sinonim dengan penyelidikan marin dan kelestarian, UMT komited memupuk kesedaran alam sekitar melalui gabungan pendidikan, penyelidikan dan libatsama komuniti. Kami mahu menjadikan amalan membawa beg sendiri, membawa bekas makanan sendiri serta menolak plastik sekali guna sebagai budaya masyarakat, bukannya sekadar kempen bermusim," katanya.

Beliau berkata, isu pencemaran plastik semakin membimbangkan kerana sebahagian besar sisa plastik akhirnya memasuki sistem sungai dan lautan, sekali gus mengancam biodiversiti marin serta menjejaskan keseimbangan ekosistem.

"Sebagai universiti yang memberi tumpuan kepada sains marin dan alam sekitar, UMT melihat pendidikan masyarakat sebagai antara pendekatan paling berkesan untuk membentuk perubahan tingkah laku yang berkekalan. Apabila kesedaran diterjemahkan kepada tindakan, impaknya bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran, malah membantu memelihara sumber semula jadi untuk dinikmati oleh generasi akan datang," katanya.

Hampir 100 tenaga kerja dan sukarelawan menjayakan program berkenaan yang terdiri daripada warga UMT, pelajar SMK Bukit Besar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu serta sukarelawan Green Ranger UMT, Geng Plastik Ija (GPI) dan Trash Hero Batu Buruk.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan dan advokasi alam sekitar dilaksanakan termasuk kempen pengurangan penggunaan plastik sekali guna, pengagihan beg serta bekas makanan guna semula, kaji selidik kesedaran alam sekitar, kuiz berkaitan kelestarian dan promosi amalan membawa beg serta bekas sendiri ketika membeli-belah.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan