KUALA LUMPUR, 26 Jun – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mencadangkan supaya Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan penubuhan cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di daerah Dungun.
Beliau berkata, cadangan itu wajar diberi perhatian memandangkan Dungun kini berstatus Majlis Perbandaran, selain mempunyai jumlah penduduk yang besar serta keperluan perkhidmatan pengangkutan yang semakin meningkat.
Menurutnya, kemudahan itu penting bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan JPJ tanpa perlu bergerak jauh ke daerah lain.
“Penubuhan cawangan JPJ di Dungun akan memberikan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat, selain menjimatkan masa dan kos perjalanan bagi mereka yang ingin berurusan dengan jabatan tersebut,” katanya.
Wan Hassan turut membangkitkan perbandingan dengan Kemaman yang juga berstatus Majlis Perbandaran dan telah mempunyai cawangan JPJ sendiri.
Justeru, katanya, Dungun sewajarnya turut diberikan kemudahan sama bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat.
Beliau memohon Kementerian Pengangkutan memperhalusi cadangan itu, termasuk mempertimbangkan pembinaan sebuah cawangan JPJ di Dungun bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Cadangan tersebut dilihat selari dengan usaha memperkukuh akses perkhidmatan awam, khususnya di kawasan luar bandar dan daerah yang sedang berkembang.
Tag :