lightning-solid
Berita :
Ziarah Kasih Perkukuh Kesejahteraan Sosial Masyarakat
Ziarah Kasih Perkukuh Kesejahteraan Sosial Masyarakat
Hidayah Azlin
11 jam yang lepas
57


SETIU, 22 Julai – Pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi terus memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan sosial masyarakat setempat menerusi penganjuran ziarah Kasih bagi menyantuni golongan warga emas, pesakit terlantar serta Orang Kurang Upaya (OKU) di sekitar mukim ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, program berkenaan merupakan komitmen berterusan bagi memastikan kebajikan dan kesihatan setiap lapisan masyarakat sama ada yang dimakan usia mahupun anak muda yang diuji dengan kesihatan dan ketidakupayaan sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.

Menurut beliau, keprihatinan terhadap masyarakat tanpa mengira umur amat penting selaras dengan prinsip mengutamakan perpaduan dan nilai kasih sayang dalam komuniti.

"Yang tua dihormati, yang muda disayangi. Nilai ini yang sentiasa kita terapkan dalam setiap aktiviti kemasyarakatan di DUN Jabi," katanya.

Menerusi siri ziarah terbaharu itu bersama Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Dr Azman telah meluangkan masa berkunjung ke rumah-rumah penduduk di beberapa buah kampung bagi menyuntik semangat dan memberi sokongan moral kepada mereka yang memerlukan.

Antara lokasi yang dilawati termasuk Kampung Bharu Tok Dor, Kampung Tok Dor, Kampung Anak Ikan serta kawasan penempatan Felda Selasih.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar kesemua warga tempatan yang dilawati sentiasa dikurniakan kekuatan, kesihatan yang baik, serta sentiasa berada bawah perlindungan-Nya.

"Ziarah warga tua kita di Kampung Bharu Tok Dor, Kg Tok Dor, Kg Anak Ikan dan Felda Selasih. Semoga sihat belaka dalam rahmat Allah sentiasa," ujar beliau lagi.

Program ziarah berkala sedemikian dilihat bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara kepimpinan tempatan dengan masyarakat, malah menjadi platform berkesan untuk memantau keadaan serta bantuan yang diperlukan di peringkat akar umbi.


Tag :

Artikel Berkaitan