• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Industri Nyahkarbon Beri Pulangan Lumayan Buat Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 JULAI - Projek industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang bakal dilaksanakan di Kerteh, Kemaman akan menghasilkan pulangan lumayan buat rakyat, negeri dan negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah segera bagi menjayakan perancangan itu telah diambil termasuk dengan mengadakan libat urus bersama Kementerian Ekonomi dan pelbagai jabatan serta agensi di peringkat negeri dan persekutuan.

Katanya, manfaat industri CCUS amat besar dan penting bagi Terengganu kerana ekosistem yang dibuat akan menjana pendapatan baharu.

“Di peringkat kerajaan negeri melalui entiti GLC, kami telah mengadakan perbincangan awal dengan Petronas terlibat menjadi rakan kongsi dalam CCUS.

“Tugas kita ialah pastikan kerajaan sediakan semua kerangka jadi pihak swasta melaksanakan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak pemberita selepas Sesi Libat Urus bersama Kerajaan negeri Terengganu mengenai pelaksanaan inisiatif CCUS, di Tingkat 17, Wisma Darul Iman, hari ini.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan bahawa CCUS adalah projek rintis dalam pelan peralihan tenaga negara, dengan Terengganu sebagai negeri peneraju kerana potensi besar dalam industri minyak dan gas  di Kerteh.

“Di peringkat Kerajaan Persekutuan kami sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang untuk dibentangkan dalam bulan November 2024 dan keputusan mengenai pelaburan dibuat selepas rang undang-undang itu dimuktamadkan.

“Perbincangan dengan pelabur dan pelanggan antarabangsa sedang berjalan serta keputusan besar kemungkinan akan dapat dimuktamadkan dalam tahun 2025.
 
“Tetapi kita sedia maklum pelaburan untuk setiap satu fasiliti CCUS yang lengkap daripada terminal sampai ke luar pesisir pantai selalunya dalam lingkungan RM20 bilion. 

“Jadi itu sebenarnya potensi yang ada untuk pelaburan kesat limpahan ekonomi kepada Terengganu, kalau kita berjaya susun dengan baik,” ujar Rafizi.

Beliau menambah, empat buah negeri dikenal pasti berpotensi besar untuk memanfaatkan teknologi pembangunan sektor CCUS di negara ini.

“Perancangan kita melibatkan empat tapak dan potensi yang ada adalah setakat ini melibatkan negeri Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak jadi Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan empat buah negeri untuk memastikan semua berjalan baik.

“Kita memastikan dalam perancangan CCUS peringkat nasional semua berada dalam keadaan baik supaya pelanggan daripada luar negara boleh menilai kemajuan  dan potensi projek ini,” tambah beliau.


Tag: