'Ingatkan Panas Hingga Ke Petang, Rupanya...' - Rintih Dr Nor Azimi

KUALA TERENGGANU, 6 Mac - "Ingatkan panas hingga ke petang, rupanya 'joong' (redup) di tengah hari," rintih Dr Nor Azimi Yunus di facebooknya selepas Terengganu mencatatkan 22 kes positif hari ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu itu berkata, pihaknya menjangkakan kes COVID-19 di negeri ini semakin berkurang, namun ia berlaku sebaliknya gara-gara individu merentas negeri.

"R-naught (Rt) Terengganu pada 5 Mac adalah 0.56. Kes terbaharu hari ini melibatkan beberapa keluarga dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang balik untuk menziarahi datuk yang meninggal dunia.

"Apabila ada kematian, kebiasaannya akan ada majlis tahlil dan kenduri tahlil  melibatkan perkumpulan keluarga yang agak ramai iaitu sekitar 45 orang. Akhirnya 15 dari mereka disahkan positif," jelasnya. 

Katanya lagi, dalam keluarga terbabit ada yang bergejala turut serta dan ia menyebabkan jangkitan sangat tinggi.

"Sepatutnya sudah tahu bergejala tangguhkan dulu atau patuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.

"Sama seperti kisah di Besut sebelum ini.  Beberapa keluarga dari Kuantan dan Johor balik menziarahi nenek yang berumur 100 tahun dan sakit tua. Akhirnya lima ahli keluarga dijangkiti pandemik termasuk nenek ini. Nenek ini akhirnya meninggal dunia.

"Ada juga kisah jiran disahkan positif COVID-19 hanya kerana menziarahi keluarga arwah," ujarnya.

Nor Azimi.

Susulan itu, beliau merayu agar orang ramai mengambil serius tentang wabak yang sedang dihadapi.

"Tolonglah, kita dah hadap wabak ini lebih setahun. Bila ramai kes baru maka proses mengesan kontak rapat yang ramai itu akan bermula lagi. Sampai bila lagi kita nak macam ini.

"Tolonglah, ambik iktibar dari kisah ini. Elak perkumpulan keluarga ramai, kecuali kita boleh sahkan tiada pembawa COVID-19 dalam keluarga kita," rayu beliau.


Tag: