Inovasi Mobile Ehsan JPN Bantu Rosiana Perbaharui Mykad



Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu mengadakan program turun padang membantu ibu tunggal yang kudung kaki, Rosiana Rosli, 37, di Kampung Padang  Kemunting, Batu Rakit, hari ini, bagi memperbaharui kad pengenalan (Mykad) menerusi program Mobile Ehsan.

Turut serta, Pengarah JPN Negeri Terengganu, Mohd Nasir Kareem.

Menurut Mohd Nasir, perkhidmatan Mobile Ehsan merupakan program turun padang yang disediakan kepada orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit terlantar seperti Rosiana yang tidak dapat bergerak sendiri ke JPN.

“Puan Rosiana perlukan bantuan untuk penggantian kad pengenalan diri. JPN sediakan kemudahan ini dengan kita turun sendiri ke lapangan sebagai kemudahan kepada pesakit terlantar, OKU dan juga warga emas.

“Kita mengambil pendekatan tidak hanya tunggu di jabatan, sebaliknya kita yang turun kepada rakyat yang tidak berupaya dan memerlukan perkhidmatan yang kita sediakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Rosiana, hari ini.

Mohd Nasir berkata, selain membantu Rosiana, JPN Negeri Terengganu juga membantu adik Rosiana, iaitu Rohaimi, 35, yang mengalami kecacatan mental yang turut memperbaharui Mykadnya.

Tambahnya, sebaik sahaja Mykad mereka siap, JPN akan membawa kad berkenaan kepada pemohon dan seterusnya menyediakan perkhidmatan yang sama kepada anak Rosiana, Muhammad Shahrul Azim Mohd Rozi, 12, yang mengalami lembam dan layak memohon Mykad berikutan genap usia 12 tahun pada 12 Jun ini.

Dalam pada itu, menurut Mohd Nasir lagi, waris dan saudara terdekat boleh memohon menerusi JPN Negeri  untuk membolehkan pasukan JPN ke lokasi atau kediaman pemohon yang memerlukan urusan pendaftaran tanpa pemohon hadir ke kaunter JPN berdekatan.

Katanya, proses permohonan itu lazimnya dapat disiapkan dalam tempoh lima hari bekerja dan kad yang siap akan dihantar kepada pemohon.

Menurut Mohd Nasir, JPN sentiasa membuat penambahbaikan perkhidmatan termasuk turun padang bagi memastikan semua rakyat mendapat akses dan kemudahan yang setaraf walaupun kurang bernasib baik dan uzur.


Sebelum ini, penderitaan Rosiana mendapat liputan meluas media termasuk dikunjungi Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) yang terpanggil untuk berkongsi kisah dukanya yang menderita penyakit kencing manis kronik. 

Rosiana yang kudung kaki kanan sehingga lutut, selain kehilangan jari telunjuk kanan dan kaki kiri yang turut berisiko dipotong akibat penyakit itu, tinggal di rumah yang uzur bersama anak tunggalnya, Mohd Shahrul Azim Mohd Rozi, 12, yang lembam dan seorang adik lelaki, Rohaimi, 36, juga mengalami masalah mental.

Inisiatif digembleng Kawat bagi menyampaikan sumbangan sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi itu disertai sekumpulan wakil media daripada beberapa agensi di Terengganu. Turut serta, Timbalan Presiden Kawat, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad.



Tag: