KUALA TERENGGANU, 23 November – Kerajaan Negeri menegaskan komitmen untuk terus memperkasa budaya integriti dalam perkhidmatan awam negeri menerusi penganjuran Sambutan Bulan Integriti Nasional dan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2025 yang diadakan hari ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh berkata, program berkenaan turut bertujuan mengukuhkan kerjasama antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta jabatan dan agensi dalam memerangi salah guna kuasa.
"Tiada negara mampu mencapai kesejahteraan tanpa penjawat awam yang berpegang teguh kepada nilai jujur, amanah dan bertanggungjawab.
"Cabaran integriti hari ini semakin kompleks melibatkan isu ketirisan, konflik kepentingan serta penyalahgunaan teknologi, justeru penjawat awam diingatkan supaya memastikan setiap urusan dan keputusan dibuat secara telus, profesional dan berakauntabiliti," ujarnya yang mewakili Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Nara Setia.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru penjawat awam supaya mematuhi dasar sedia ada, menolak rasuah walau sekecil mana sekali pun, melaporkan salah laku melalui saluran yang betul, mengamalkan ketelusan dan memperkasa integriti digital. 
Beliau turut menyorot pelancaran strategi Keep Malaysia Clean (KMC) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Oktober lalu, yang memfokuskan pembentukan masyarakat yang menolak rasuah melalui tiga tonggak utama: clean value, clean society dan clean environment.
Katanya, inisiatif itu bertujuan memupuk budaya sivik dan integriti dalam kalangan rakyat sejak peringkat prasekolah hingga dewasa.
"Kami berharap sambutan kali ini menjadi pemangkin pengukuhan budaya kerja berintegriti dan bukan sekadar acara tahunan, sekali gus mewujudkan suasana perkhidmatan awam yang bebas daripada unsur negatif dan lebih dipercayai rakyat," ujar beliau.