Isu Hina Nabi : Perlu Gubal Akta Khas

Shaharizukirnain Abd Kadir

KUALA LUMPUR, 21 Mac - Parlimen Malaysia perlu menggubal akta khas bagi menangani perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW yang berleluasa hari ini supaya jenayah itu tidak berulang lagi.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, kes itu kini hanya didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 sahaja, bukan di bawah akta khusus. 

"Parlimen perlu menggubal akta khusus untuk mereka yang menghina Nabi sAW sekali gus mengenakan  hukuman setimpal atas perbuatan itu sehingga tiada lagi mana-mana individu berani menghina Rasulullah SAW pada masa akan datang," tegasnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap menjunjung kasih Titah Ucapan Perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-14 oleh Yang Dipertuan Agong, di sini hari ini. 

Shaharizukirnain berkata, adalah diharapkan keputusan kerajaan menghapuskan hukuman mati mandatori  tidak membawa kepada penghapusan  hukuman mati sepenuhnya di masa akan datang kepada penjenayah. 

Kerajaan Malaysia katanya, perlu kembali kepada hukuman Qisas seperti termaktub dalam hukuman syariah untuk melihat keadilan itu dapat dilaksanakan sepenuhnya di samping menghalang perbuatan jenayah berleluasa di negara ini. 

Menurutnya, hukuman paling berat yang diperuntukkan di Malaysia atas sesuatu jenayah ialah hukuman mati. 

Katanya, jenayah yang boleh melibatkan hukuman mati di Malaysia adalah berasaskan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan: Seksyen 121, 121A, 132, 194, 302, 305, 364, 396, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960: Seksyen 57(1), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta 37: Seksyen 3, 3A, 7(1) dan Akta Dadah Merbahaya 1952: Seksyen 39B.

"Hukuman mati dikenakan kepada jenayah yang dianggap sebagai suatu kesalahan yang amat besar dan berat.   

"Dadah dianggap musuh utama negara kerana mudharatnya, maka pengedar dadah boleh dikenakan hukuman mati,"  katanya.

Menurut beliau, senjata api pernah dikaitkan dengan kegiatan subversif yang mengancam keselamatan negara, maka Parlimen Malaysia tmenggubal undang-undang menyekat kegiatan sedemikian dan mengenakan hukuman mati ke atas kesalahan di bawah undang-undang tersebut.

Tag: