Isu Lirik Lagu Gereja Selesai - JPNT

Shafruddin ketika menemui guru yang terlibat dalam isu lirik, Muhammad Kamil  di SK Kuala Jengal, Dungun.
DUNGUN - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah menyelesaikan isu penyebaran senikata lagu gereja yang  berjudul ‘Satu Suara’ oleh seorang guru  kepada 24 orang murid tahun empat beragama Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Jengal, Hulu Dungun,  yang viral di laman media sosial beberapa hari lalu.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin berkata, pihaknya telah menerima satu  laporan penuh berkenaan kes tersebut daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) baru-baru ini dan telah pun melakukan siasatan lanjut terhadap perkara tersebut dan ia dianggap sudah selesai.

Jelasnya, hasil siasatan lanjut yang dilakukan mendapati  lirik tersebut diedarkan oleh seorang guru lelaki yang berusia 38 tahun itu didapati tidak disengajakan dan  berlaku kecuaian semasa pemilihan lagu tersebut.

"Guru tersebut telah memuat turun lirik tersebut  di internet bagi tujuan latihan kepada murid untuk persembahan bulan kemerdekaan yang akan diadakan di sekolah berkenaan pada minggu hadapan.

"Didapati semasa latihan nyanyian diadakan, guru tersebut mendapati terdapat unsur-unsur nyanyian mengagungkan Jesus (Tuhan penganut agama Kristian) yang ditulis dalam bahasa Indonesia dan guru tersebut berjanji akan menggantikan lirik lagu yang lain untuk latihan," katanya.

Beliau berkata demikan selepas bertemu sendiri dengan guru terbabit di Kampung Kuala Jengal bagi mendapatkan penjelasan berkenaan isu tersebut, hari ini (7 September).

Shafrudin berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kesilapan kedua ialah guru tersebut tidak mengambil semula lirik yang telah diberikan dan menyebabkan ianya tersebar meluas di laman sosial kerana ada murid yang membawa pulang lirik tersebut dan disebarkan oleh sesetengah pihak.

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan merujuk perkara berkenaan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan selanjutnya dan berharap agar perkara tersebut tidak lagi disensasikan bagi menjaga keharmonian semua pihak.

Sementara itu, guru terbabit, Muhammad Kamil Abdul Rahman, 38, ketika ditemui menyatakan permohonan maafnya  kepada seluruh umat Islam di negara ini  di atas kecuaiannya sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat.

Dia yang sudah lapan tahun bertugas  di sekolah itu tidak menyangka lirik lagu berkenaan mengandungi unsur memuji agama Kristian dan tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

"Memang kesilapan saya tidak meneliti lirik secara terperinci dan selepas ini akan lebih berhati-hati dan saya harap semua ibu bapa,  pelajar, guru dan seluruh rakyat Malaysia memaafkan kesilapan yang berlaku," katanya.

Baru-baru ini, lirik tersebut menjadi kecaman netizen selepas ia dimuat naik di laman sosial Facebook dan  seorang aktivitis pendidikan yang menggunakan nama gelaran  "Cikgu Izzat" telah memuat naik satu kenyataan berkenaan isu tersebut.

Guru terbabit yang dianggap tidak sensitif dan menghina agama Islam serta netizen berharap pihak yang berkaitan mengenakan tindakan disiplin terhadap guru terbabit.



Tag: