J3K Kampung Seri Rahmat Juara Cabaran Cari Harta Karun Parlimen Setiu
Sabri melepas peserta cabaran pencarian harta karun Kembara Kasih Sayang Parlimen Setiu peringkat DUN Langkap yang berakhir di Sungai Tong, kelmarin. |
Pasukan gabungan Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (J3K) Seri Rahmat dari Felda Chalok muncul juara pada cabaran pencarian harta karun Kembara Kasih Sayang Parlimen Setiu Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Setiu yang berakhir di Sungai Tong, kelmarin.
Kumpulan yang dianggotai 12 peserta dengan menaiki tiga buah kenderaan, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 selepas menewaskan 444 peserta lain dalam pertandingan yang melalui empat DUN di Parlimen Setiu, bermula di Dataran Chalok Kedai, kira-kira jam 10 pagi.
Program anjuran Pejabat Penyelaras UMNO DUN Langkap dengan kerjasama Pejabat Parlimen Setiu itu disertai 111 buah kenderaan dengan setiap kenderaan dinaiki empat peserta yang melibatkan 37 cawangan UMNO di DUN Langkap.
Penyelaras UMNO DUN Langkap, Jazlan Mohamed Amin berkata, tempat kedua diraih pasukan J3K Banggol Setar manakala di tempat ketiga pula dimenangi pasukan J3K Seri Kenangan.
"Masing-masing membawa pulang wang tunai RM700 dan RM500, tempat keempat dan kelima ialah pasukan J3K Sungai Lerek dan Sungai Pinang masing- masing menerima hadiah RM400 dan RM300," katanya.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd.