Jalur Gemilang
Berita :
Bertentangan Garis Panduan, Kejohanan Bola Jaring Campuran Tak Dibenarkan
Bertentangan Garis Panduan, Kejohanan Bola Jaring Campuran Tak Dibenarkan
Noraini Jusoh
9 jam yang lepas
146

KUALA TERENGGANU, 23 September – Mini Kejohanan Bola Jaring Campuran yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di Jeram, Manir tidak dibenarkan diteruskan dalam konsep campuran kerana bertentangan dengan Garis Panduan Sukan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kejohanan berkenaan merupakan inisiatif pihak persendirian dan bukan di bawah kelolaan mana-mana jabatan atau agensi Kerajaan Negeri.

“Penganjuran ini dilaksanakan oleh pihak persendirian dan bukannya di bawah kelolaan mana-mana jabatan atau agensi Kerajaan Negeri.

“Susulan aduan awam yang diterima, pihak kami telah memanjangkan pemakluman kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membuat siasatan serta menghubungi pihak penganjur kejohanan secara terus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hishamuddin, berdasarkan perkara 4 (Garis Panduan Umum) dalam Garis Panduan Sukan Negeri Terengganu, penganjur tidak dibenarkan meneruskan kejohanan berkenaan dalam konsep campuran.

Bagaimanapun katanya, kejohanan itu masih boleh diteruskan sekiranya penyertaan dihadkan kepada peserta wanita sahaja.

“Susulan kes ini, pihak penganjur juga diminta mengemukakan permohonan permit kelulusan kepada pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terlebih dahulu bagi penganjuran berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka terhadap penganjuran pelbagai aktiviti sukan di Terengganu, namun setiap pihak perlu menghormati dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

“Pada masa yang sama, pihak Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk melunturkan semangat kesukanan dalam kalangan seluruh lapisan rakyat Terengganu.

“Apa yang diharapkan, kita berusaha sebaik mungkin untuk menampilkan yang terbaik sebagai warga Darul Iman,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan