• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Jaafar, Bekas Pensyarah KUSZA Dianugerah Tokoh Maal Hijrah Terengganu

Jaafar dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439H/2017M Negeri Terengganu sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang berlangsung di Stadium Negeri Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh Tg Mohd Syamim Tg Ismail

Bekas pensyarah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Jaafar Hassan diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439H/2017M Negeri Terengganu sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang berlangsung di Stadium Negeri Kuala Terengganu, hari ini.

Penyampaian hadiah dan cenderahati  berupa wang tunai RM10,000 beserta pakej umrah bernilai RM10,000 selain sepersalinan RM500; piala iringan dan sijil penghargaan disampaikan Tengku Sri Temenggung Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud yang mewakili Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada majlis tersebut.

Jaafar yang dilahirkan pada 17 Februari 1936 di Kampung Daik, Kuala Terengganu berkongsi hidup bersama Afaf Abdul Rahman El-Nagar dikurniakan tiga orang cahaya mata dan kini mempunyai 11 orang cucu dan tiga orang cicit.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Paya Bunga peringkat rendah dan meneruskan peringkat menengah di Madrasah Sultan Zainal Abidin, Ladang.

Minat mendalam dalam bidang agama turut membawa pendakwah ini  ke luar negara pada tahun 1952 untuk meneruskan pelajaran di Madrasah Al- Mansuriah dan Maahad Al-Ilmi As-Saudi, Mekah malah turut menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir.

Beliau merupakan anak Melayu pertama menerima Anugerah Pingat Emas Syahadah Tertinggi di Majlis Idul Ilmi yang disampaikan oleh Presiden Jamal Abdul Nasir pada 1962 di samping berjaya mendapat Syahadah Al-Aliah (BA) ketika menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Lebih membanggakan apabila, kejayaan KUSZA mendapat pengiktirafan luar merupakan hasil usaha beliau yang berjaya berunding dengan pihak Universiti Al-Azhar bagi pengiktirafan Syahadah Lulusan KUSZA.


Jaafar ketika ditemui pada majlis tersebut menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan yang diterimanya itu.

Beliau berkata, penghargaan ini menjadi satu tanggungjawab dan perangsang untuk beliau meneruskan usaha dalam bidang dakwah.

“Saya akan terus menyampaikan dakwah dan mengharapkan generasi muda termasuk para pensyarah turut sama mengembangkan syiar Islam demi kemajuan Islam.

 “Alhamdulillah, masyarakat Terengganu masih lagi kuat berpegang kepada agama Islam dan diharapkan ianya akan berterusan,” ujarnya yang masih aktif mengadakan kelas pengajaran agama di Masjid Tengku Sulong Padang Negara, Kuala Ibai berhampiran rumahnya pada setiap minggu.

Jaafar juga giat menyiapkan buku berkisarkan masyarakat Islam walaupun usianya kian meningkat.

Tag: