Jabatan Amal Hulu Terengganu Ringankan Beban 20 Anak Yatim dan Anak Miskin

HULU TERENGGANU, 10 Februari – Jabatan Amal Hulu Terengganu telah menghulurkan bantuan kebajikan sosial kepada 20 orang anak yatim dan anak miskin dari daerah ini dalam usaha meringankan beban mereka menjelang sesi persekolahan baharu.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Hulu Terengganu (DPPHT), Ustaz Hamdi Harun, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Menurutnya, program tersebut melibatkan pembelian pakaian sekolah di Pasaraya Sakan, di mana anak-anak yang terlibat diberi peluang memilih kelengkapan persekolahan mereka dengan bantuan sukarelawan Jabatan Amal.

 


“Kami berharap bantuan ini dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak ini dan membantu mereka memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersemangat.

“Kami akan terus berusaha menggerakkan program kebajikan seperti ini bagi membantu golongan yang memerlukan. Keprihatinan masyarakat amat penting dalam memastikan mereka tidak terpinggir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa program kebajikan sebegini  akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan golongan yang kurang berkemampuan mendapat perhatian sewajarnya.


Ibu bapa dan penjaga penerima bantuan turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh Jabatan Amal Hulu Terengganu.
 


Tag: