DUNGUN, 20 Mac - Umat Islam diseru untuk menjadikan Al-Quran sebagai peneman setia dalam kehidupan seharian, bukan sekadar bahan bacaan tetapi sebagai panduan dan pedoman dalam setiap langkah kehidupan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, kepentingan Al-Quran sebagai sahabat sejati yang akan menemani umat Islam di dunia dan Akhirat.
“Di dunia ini, kita sibuk mencari peneman setia. Tetapi jangan lupa bahawa di Akhirat kelak, Al-Quran lah sahabat sejati yang akan menemani kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perasmian Madinah Ramadan dan Majlis Khatam Al-Quran peringkat Dungun yang berlangsung di Masjid Jamek Paka baru-baru ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa Al-Quran bukan sekadar bacaan harian, tetapi menjadi hujah dalam setiap amalan yang dilakukan oleh umat Islam.
“Jika kita berpegang teguh padanya, ia akan menjadi peguam bela yang membela kita di hadapan Allah. Namun, jika kita mengabaikannya, ia boleh menjadi saksi yang menuntut kita atas kelalaian sendiri,” tambahnya lagi.
Majlis yang penuh bermakna itu dihadiri oleh para qari, qariah, serta masyarakat setempat yang turut mengambil bahagian dalam sesi khatam Al-Quran.
Program ini bertujuan untuk menyemarakkan budaya membaca dan memahami Al-Quran dalam kalangan umat Islam, khususnya di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Selain itu, beliau turut mengajak semua pihak untuk menjadikan Al-Quran sebagai cahaya yang menerangi kehidupan seharian.
“Pilihan di tangan kita sama ada menjadikan Al-Quran sebagai cahaya yang menerangi kehidupan atau membiarkannya menjadi bukti kealpaan kita. Semoga kita tergolong dalam golongan yang mencintai, memahami, dan mengamalkan ajarannya,” ujarnya.