• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Jadikan Kejayaan Azizulhasni Contoh Terbaik


Kejayaan pelumba trek kebangsaan yang berasal dari Dungun, Azizulhasni Awang diharap menjadi pendorong kepada atlet berbasikal terutamanya pelumba Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kejayaan beliau memenangi emas dalam acara pecut individu elit lelaki Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India sesuatu yang amat membanggakan.

"Saya ucapkan tahniah kepada Azizulhasni, jaguh lumba basikal kerana memenangi pingat emas dan kejayaan beliau diharapkan menjadi pendorong utama kepada atlet basikal Terengganu agar dapat dicontohi serta mengikuti jejaknya.

"Saya juga yakin dan percaya bahawa beliau mempunyai masa depan yang sangat cerah sekali gus memperoleh kejayaan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas acara pecut individu elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke-35, di New Delhi, India, Jumaat lalu.

Pemenang pingat gangsa acara keirin di Olimpik Rio 2016 itu meraih kemenangan 2-0 selepas mendominasi perlumbaan pertama dan kedua dengan catatan masa 10.451 saat dan 10.526 saat di Velodrom Indira Gandhi. 

Anak kelahiran Dungun itu menewaskan Tomoyuki Kawabata dari Jepun yang mencatat masa 10.543 saat dan 10.623 saat bagi dua perlumbaan. 

Sebagai rekod pelumba yang lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu pernah memenangi emas dalam acara pecut individu pada 2008, 2009 dan 2014.


Ahmad Razif ditemui pemberita di Majlis Penyampaian Hadiah Bagi Acara Badminton Sempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (PTIWRBNM) di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak serta diiringi oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Dalam program itu, Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) muncul sebagai juara bagi kategori Classic Plate.

Dengan kemenangan tersebut, pasukan badminton Serikandi membawa pulang Piala Jelapang, medal serta hadiah iringan.


Tag: