KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu memantapkan diri dengan pelbagai kemahiran bagi menjadikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sebagai sebuah sidang yang terbilang di Malaysia.
Yang Dipertuanya, Yahaya Ali berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan, beberapa bengkel pemantapan khas telah dilaksanakan untuk ADUN-ADUN sebagaimana yang dipersetujui dalam perbincangan di dalam program 'retreat' yang diadakan di Terengganu Darul Iman Trade Centre, Kemaman sebelum ini.
"Bengkel Lestari kali ini adalah lanjutan dari kursus yang pernah dibuat pada tahun lepas yang mana kita berhasrat nak jadikan DUN Terengganu antara yang terbaik dan terbilang di Malaysia.
"Untuk sampai kepada hasrat ini, walaupun peraturan dewan adalah pelengkap utama tetapi sekarang zaman teknologi maklumat serta komunikasi, maka ADUN mesti berperanan sebaiknya secara berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bengkel Literasi DUN Terengganu di Camelia Grand Ballroom, Paya Bunga Square, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Tambahnya lagi, bengkel sehari itu akan memberi maklumat tambahan, ilmu serta penguasaan mereka sebagai ADUN yang terbaik.
"Dan seterusnya bila DUN bersidang, ADUN mesti aktif dalam membahaskan rang undang-undang bagi kepentingan rakyat dan negeri," ujar Yahaya.