SERDANG, 16 Mac - Kerajaan Terengganu berharap anak-anak Terengganu yang berada di perantauan menjadikan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat yang tepat serta sahih bagi mengetahui apa jua perkembangan terkini yang dilakukan kerajaan negeri dalam usaha memberi manfaat dan kebaikan kepada seluruh rakyat.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap perantau merupakan ejen menyampaikan berita serta informasi yang benar mengenai apa yang berlaku di Terengganu agar ia diketahui oleh seluruh rakyat Terengganu yang berada di mana sahaja.
"Terdapat anak-anak negeri yang berada di luar mungkin tidak menyertai persatuan jadi masing-masing perlu memberikan maklumat yang tepat kepada seluruh warga yang berada di luar dari negeri Terengganu.
"Maklumat itu bukan sahaja akan diketahui oleh rakyat Terengganu yang berada di luar bahkan akan turut menjadi perhatian seluruh anggota masyarakat dalam negara kita,"ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu hadir ke Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan, yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada Sabtu.
Tambah Samsuri, penting untuk setiap rakyat Terengganu berada di luar mendengar penjelasan yang tepat daripada kerajaan melalui ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
"Maka, dengan 'update' yang betul, insya-Allah kita akan berjaya mewujudkan suasana yang lebih harmoni dalam masyarakat," katanya.