Jadilah Pembina Dan Bukannya Peruntuh Ummah


KEMAMAN, 16 Februari - Ummah hari ini mesti dibina dengan kehebatan dan kemuliaan Islam bagi mengelakkan keruntuhan dan kehancurannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ianya boleh dirawat dengan kefahaman Islam yang syumul dan tarbiyah yang sempurna.

Katanya, ummah perlu dibina agar memiliki ciri-ciri kehebatan dan kemulian melalui jaringan siber yang merupakan salah satu wasilah ke arah membina ciri-ciri tersebut.

"Ciri-ciri hanya mampu dibina dengan kepelbagaian wasilah dan jaringan siber sangat besar peranan dan kesannya kepada pemikiran dan tindakan ummah.

"Mujahid Islam mesti terus mara menggunakan jaringan siber untuk kembalikan ummah dengan Islam dan berhadapan dengan musuh yang berusaha meruntuhkan kemuliaan dan kehebatan ummah Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika  merasmikan Program Ijtimak Siber Malaysia 2019"Jaringan Siber : Membina Kehebatan Ummah di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini hari ini.


Hampir 2,000 hadir dari seluruh negeri termasuk Sabah ke program anjuran Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dengan Kerjasama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI).

Menurut Mohd Nor, ummah hari perlu menjadi pembina dan bukannya peruntuh melalui jaringan siber yang hebat.

"Jadilah labah-labah yang membina dan memberi perlindungan dan bukannya menjadi anai-anai yang meruntuh dan memusnah perlindungan yang dibina,"katanya.



Tag: