Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
Ahmad Razif mengawal jengkaut sebagai gimik dalam majlis pecah tanah di Seberang Takir, Kuala Nerus. Foto oleh Zulkifli CW Putra. |
Projek jalan 'corniche' dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC) sepanjang 6.8 kilometer bakal memberi impak positif kepada rakyat Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek tersebut yang dibahagikan kepada dua fasa menelan belanja RM60 juta dan dijangka akan siap sepenuhnya pertengahan tahun hadapan.
Katanya, untuk permulaan bagi fasa pertama, projek ini akan melibatkan kos sebanyak RM30 juta.
"Fasa pertama akan bermula dari hujung tanjung sehingga ke Teluk Ketapang dan diikuti dengan fasa kedua yang sekarang ini dalam peringkat reka bentuk untuk diteruskan sehingga ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
"Kita jangkakan keseluruhan jalan 'cornish" ini akan selesai menjelang pertengahan 2019. Untuk fasa pertama kita jangka siap pada Ogos tahun ini. Manakala jambatan angkat kita jangkakan siap hujung tahun ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bagi Pelaksanaan Projek Jalan Dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud Ke Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Dato’ Seri Jebasingam Issace John.
Ahmad Razif, bagi projek tersebut, ianya tidak melibatkan sebarang pengambil alihan tanah penduduk setempat.
"Kawasan-kawasan yang ada rumah, kita akan alihkan (laluan), maknanya kita akan elak.
"Jadi, kita akan buat tambakan di kawasan laut dan pembinaan benteng. Jadi pengambil alihan tanah tidak terlibat," katanya.