Jalan Rosak : Keresahan Penduduk Jalan Rosak Bakal Berakhir

MARANG, 4 Januari - Keresahan penduduk berkenaan jalan tidak rata di sekitar Kampung Undang ke Kampung Atas Tol akibat proses naik taraf paip air bakal berakhir sebelum Mac ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong, Dato’ Mohd Nor Hamzah.

Beliau berkata, pihak kontraktor telah berjanji untuk memulakan fasa pembaikian jalan selepas kerja penggalian selesai.

Katanya, jika kontraktor gagal memenuhi janji tersebut, tindakan yang sewajarnya akan diambil oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Projek mengorek tanah dan jalan bagi menaik taraf tersebut bermula dari bulan Ogos 2022 bagi menghubungkan loji air Kepong ke tangki takungan air di Bukit Kor berakhir malam ini,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Mohd Nor yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu menghadiri majlis makan malam di tapak kerja-kerja akhir proses pemasangan paip sekaligus meraikan para pekerja dan kontraktor SATU yang terlibat.

Tambahnya lagi, semua pengguna diharapkan dapat memahami situasi yang dihadapi dan mendoakan agar urusan ini dipermudahkan.


Tag: