Terengganu Bakal Laksana Gerbang Pembayaran Baharu

KUALA TERENGGANU, 10 April - Usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh ekonomi digital bakal menunjukkan perkembangan positif melalui pelaksanaan Terengganu Payment Gateway. 

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata perkembangan bagi pelaksaan gerbang pembayaran baharu itu kini telah memasuki fasa akhir perbincangan.

"Alhamdulillah, hari ini saya dan pihak Tajdid (TAJDID Corporation Sdn. Bhd.) telah menerima penerangan mendalam daripada Berry Pay berkenaan pelaksanaan Terengganu Payment Gateway. 

"Insya-Allah, projek ini telah mencapai tahap akhir perbincangan dan akan diangkat untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa negeri.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran laman sosial media rasmi rasminya, semalam.

“Inisiatif ini diyakini mampu membuka satu lagi sumber pendapatan baharu yang akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri Terengganu.

"Mari kita doakan agar segala urusan dipermudahkan dan dapat dilaksanakan dengan jayanya," ujar beliau.

Usaha ini juga selari dengan aspirasi negeri untuk menjadi antara peneraju pendigitalan sektor awam di Malaysia, sejajar dengan pelan Smart Terengganu 2040.

Jika diluluskan dan dilaksanakan dalam masa terdekat, Terengganu Payment Gateway berpotensi menjadi pemangkin kepada pelbagai peluang ekonomi baharu, terutamanya dalam bidang keusahawanan, pelaburan digital, dan pemerkasaan ekonomi setempat.

 


Tag: