Jalur Gemilang
Berita :
RM577 Juta Pembiayaan, Geran Bantu Usahawan Terengganu
RM577 Juta Pembiayaan, Geran Bantu Usahawan Terengganu
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Lebih RM577 juta pembiayaan dan geran telah disalurkan kepada usahawan di Terengganu menerusi 40 agensi keusahawanan Persekutuan dan negeri di bawah Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, jumlah berkenaan menunjukkan komitmen pelbagai agensi dalam menyediakan akses pembiayaan serta sokongan kepada golongan usahawan.

"Apa yang menarik di Terengganu ialah kita mempunyai Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) yang dianggotai oleh 40 agensi keusahawanan Persekutuan dan negeri. 

"Berdasarkan rekod, jumlah pembiayaan dan geran yang telah dikeluarkan oleh agensi-agensi di bawah PEUTER bagi tempoh 2021 hingga 2025 melebihi RM577 juta," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Sejahtera 2026, Haraki Fest di Kompleks Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), di sini, semalam.

Menurut Ariffin, sokongan pembiayaan perlu disertai dengan bimbingan yang bersesuaian kerana keperluan setiap usahawan berbeza mengikut tahap perkembangan perniagaan masing-masing.

Katanya, terdapat usahawan yang memerlukan modal, manakala sebahagian lain memerlukan sokongan dalam aspek pemasaran, penjenamaan, teknologi digital atau akses kepada pasaran lebih besar.

“Maka, pendekatan pembangunan usahawan perlu bergerak daripada 'one size fits all' kepada bimbingan mengikut keperluan dan tahap perkembangan setiap usahawan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ariffin berkata, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) turut menyediakan pembiayaan tanpa riba menerusi Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS).
"Sebanyak enam skim disediakan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM5,000-RM 50,000. Bagi tempoh 5 tahun (2021-2025), jumlah pengeluaran pembiayaan TUGAS hampir RM18 juta kepada 1, 203 usahawan dalam pelbagai sektor," ujarnya.

Tambahnya, bantuan pembiayaan dan geran perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha membina ekosistem keusahawanan yang membolehkan usahawan berkembang, mewujudkan pekerjaan dan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat.

"Seorang usahawan yang berkembang boleh mengambil pekerja. Pekerja mendapat pendapatan. Pembekal mendapat tempahan. 

"Logistik mendapat manfaat. Komuniti menerima limpahan ekonomi. Inilah yang kita maksudkan dengan impak gandaan ekonomi yang menjadi antara harapan utama penganjuran Karnival ini.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan