Jalur Gemilang
Berita :
Pendaratan Raja Penyu Kali Keempat, Jangan Ulang Kesilapan Sama- Razali
Pendaratan Raja Penyu Kali Keempat, Jangan Ulang Kesilapan Sama- Razali
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
11 jam yang lepas
202

KEMAMAN, 1 Oktober - Kemunculan semula penyu belimbing di Pantai Jambu Bongkok, Marang awal pagi tadi mencatatkan pendaratan kali keempat spesies berkenaan di Terengganu dalam tempoh sebulan, sekali gus mengulangi kepentingan masyarakat untuk tidak mengganggu haiwan berkenaan ketika mendarat.

Sebanyak 70 biji telur dipercayai telur penyu belimbing ditemui nelayan tempatan sekitar jam 4 pagi sebelum penemuan itu segera dilaporkan kepada Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, pendaratan berulang itu merupakan perkembangan positif terhadap usaha pemuliharaan penyu belimbing di Terengganu, namun pada masa sama masyarakat perlu mengambil iktibar daripada kejadian sebelum ini.

“Alhamdulillah, penyu belimbing sekali lagi mendarat di Pantai Jambu Bongkok, Marang awal pagi tadi.

“Sebanyak 70 biji telur berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke tapak pengeraman TCIC Rantau Abang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran Facebook rasminya, hari ini.

Menurutnya, terdapat kemungkinan penyu berkenaan merupakan individu yang sama yang kembali mendarat untuk bertelur, memandangkan seekor ibu penyu boleh melakukan beberapa pendaratan sepanjang musim bertelur.

“Ini merupakan pendaratan keempat penyu belimbing di Terengganu dalam tempoh sebulan. Kita perlu melihat perkara ini sebagai satu amanah untuk kita lindungi, bukan sesuatu yang perlu didekati atau diganggu.

“Jangan ulang kesilapan yang sama. Apabila penyu naik ke pantai untuk bertelur, beri ruang dan biarkan ia menjalankan proses semula jadinya tanpa gangguan,” katanya.

Tambah beliau, tindakan pantas nelayan tempatan yang menemukan trek serta telur penyu dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa wajar dicontohi oleh masyarakat.

“Tindakan nelayan ini sangat baik. Beliau tidak mengganggu atau mengambil kesempatan, sebaliknya terus memaklumkan kepada pihak berkenaan supaya tindakan perlindungan dapat dilakukan,” katanya.

Razali turut menyeru komuniti nelayan, penduduk setempat dan orang awam supaya segera melaporkan sebarang penemuan penyu atau pendaratan kepada Jabatan Perikanan Malaysia bagi membolehkan tindakan pemuliharaan dilaksanakan dengan segera.

“Kita mahu Raja Penyu terus kembali ke Terengganu. Tetapi kalau kita benar-benar mahu melihatnya kembali, kita juga mesti tahu bagaimana untuk menjaganya.

“Jangan pegang, jangan ganggu dan jangan terlalu dekat. Beri ruang kepada penyu untuk kembali ke laut dengan selamat,” katanya.




Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan